PELATIH Inspektor melakukan perbarisan kawalan kehormat ketika Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih Siri 1/2023. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PELATIH Inspektor melakukan perbarisan kawalan kehormat ketika Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih Siri 1/2023. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua fokus utama perlu dipatuhi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pasukan keselamatan itu berada pada landasan yang betul.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, fokus pertama adalah perkhidmatan PDRM bertunjangkan integriti dan tatakelola yang baik.

"Manakala bagi fokus kedua ialah mendukung dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat. Kedua-dua fokus ini perlu digerakkan secara total di setiap peringkat, dengan integriti kekal menjadi indikator terpenting dalam membentuk keperibadian pegawai polis yang cemerlang.

"Untuk itu, ingin saya tegaskan kepada semua pelatih yang akan memulakan karier sebagai Pegawai Kanan Polis di lapangan, supaya sentiasa menjauhkan diri daripada segala bentuk salah laku dan gejala rasuah serta patuhlah kepada undang-undang negara serta perintah pasukan,"katanya ketika berucap selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan AsasKepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih SIRI 1/2023 di Pusat Latiha Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan pegawai kanan polis.

Pada majlis sama, 538 pelatih berjaya menamatkan latihan mereka.

Razarudin berkata, tugas anggota dan pegawai polis adalah satu amanah yang disandarkan di bahu kita dan dihisab di akhirat.

"Justeru itu, kita hendaklah memahat nawaitu dalam diri, untuk menjadi seorang pegawai polis yang berintegriti dan jujur kerana keberkatan dalam pekerjaan itu, membawa keberkatan dalam kehidupan.

"Saya mengambil ruang dan peluang yang ada ini, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga kerana memberi kepercayaan kepada PDRM, untuk membimbing anak tuan-tuan dan puan-puan menjadi sebahagian daripada warga polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 1:33 PM