MASIH ramai penduduk di Semenanjung Gaza berusaha mencari  ahli keluarga yang masih tertimbus di bawah runtuhan kediaman yang dibom tentera Israel.
MASIH ramai penduduk di Semenanjung Gaza berusaha mencari ahli keluarga yang masih tertimbus di bawah runtuhan kediaman yang dibom tentera Israel.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Memasuki hari ke-84 serangan ganas tentera Zionis terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, masih ramai penduduk Gaza berusaha menggali tapak runtuhan kediaman bagi mencari ahli keluarga yang tertimbus.

Sehingga kini lebih 8,000 penduduk Gaza dilaporkan hilang termasuk 5,000 kanak-kanak dan wanita dengan majoritinya terperangkap di bawah runtuhan pangsapuri atau kediaman dihuni.

Situasi sedih itu dikongsi apabila salah seorang penduduk Gaza, Omar al-Darawi, 45, menghabiskan masa berminggu-minggu bagi mencari mayat ahli keluarganya yang masih tertimbus dalam runtuhan rumah empat tingkat di tengah Gaza.

Dalam kejadian serangan tentera Israel sebelum ini, 32 daripada 45 ahli keluarganya yang menghuni kediaman itu mati terbunuh.

KEMUSNAHAN teruk akibat serangan roket dan bom Israel menyebabkan ramai tertimbus hidup-hidup di bawah runtuhan kediaman.
KEMUSNAHAN teruk akibat serangan roket dan bom Israel menyebabkan ramai tertimbus hidup-hidup di bawah runtuhan kediaman.

Pada hari pertama kejadian serangan, 27 mayat mangsa berjaya ditemui dan dibawa keluar dari celah runtuhan.

Sehingga kini Omar masih mencari baki lima lagi ahli keluarga termasuk anaknya yang masih berada di bawah runtuhan berkenaan.

Perkara sama turut dilakukan Yasser Abu Shamala, 51, yang akan pergi ke tapak peninggalan kediamannya di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza setiap pagi.

Dia akan menggali runtuhan dengan tangan kosong, mengangkat kepingan konkrit untuk mencari ahli keluarganya yang tertimbus di bawah runtuhan.

Rumah keluarga Abu Shamala sebelum ini dibom tentera Israel pada 26 Oktober sekaligus membunuh ibu bapa, abang dan sepupunya.

Walaupun beberapa kali cubaannya gagal namun Abu Shamala enggan berhenti mengorek tapak runtuhan dan berusaha untuk mengeluarkan mayat ahli keluarganya.

Dia berharap dapat mengebumikan semua mangsa di tanah perkuburan.

Sementara itu Presiden Muslim Care Malaysia Society (MCM) Zulkifli Wahijan berkata, melalui maklumat diterima, usaha untuk mencari atau menyelamatkan mangsa yang terperangkap ini amat sukar susulan serangan berterusan roket dan bom oleh tentera Israel.

Menurutnya, peluang mangsa untuk hidup amat tipis ditambah dengan keadaan cuaca hujan dan musim sejuk melanda Semenanjung Gaza.

"Amat menyedihkan saya apabila rata-rata mangsa adalah bayi dan kanak-kanak tidak berdosa. Ramai yang terkorban ketika sedang tidur akibat serangan Zionis pada waktu malam atau awal pagi.

"Kemusnahan dibawa oleh Zionis ini sukar digambarkan. Mereka sememangnya mempunyai objektif mahu membunuh seramai mungkin generasi muda di Gaza," katanya.

Melalui maklumat disalurkan Ahmed Abu Ayesh yang juga Pengurus Muslim Care Malaysia-Palestin di Gaza, ramai kanak-kanak malang yang terselamat mengalami trauma dan tidak lagi dapat bersekolah.

"Mereka kekurangan nutrisi, berdepan penyakit berjangkit, kelaparan dan menjadi anak yatim atau yatim piatu kesan kekejaman Israel ini.

"Mereka akan mellui era kehidupan serba kurangan dan masa depan yang gelap kesan kemusnahan besar-besaran dilakukan Zionis," katanya.

Menurutnya, sehingga kini ratusan penduduk Gaza masih tidak berputus asa untuk mencari ahli keluarga yang tertimbus di bawah runtuhan.

"Biarpun bau mayat sudah dapat dihidu di mana-mana namun penduduk Gaza yang masih hidup berusaha mengesan mangsa menggunakan penyodok serta mengalihkan bongkah serpihan konkrit menggunakan besi atau tangan.

"Ada yang berusaha mencari mayat anak-anak mereka di bawah runtuhan. Tidak kurang juga yang masih berusaha mengeluarkan mayat ibu bapa mereka," katanya.

Zulkifli berkata, keadaan kerosakan dan kemusnahan di Semenanjung Gaza kini terlalu teruk untuk digambarkan.

"Kubur penduduk Gaza berada di mana-mana. Bilangan mangsa yang mati terus meningkat menghampiri 22,000 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 6:45 AM