Zaid Salim

Kuala Terengganu: Polis merekodkan kerugian berjumlah hampir RM7 juta membabitkan 301 kes jenayah komersial di negeri ini dengan penyumbang terbesar membabitkan kes penipuan dalam talian sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 228 kes membabitkan kerugian sebanyak RM6.6 juta.

Katanya, jenayah komersial di negeri ini terutama membabitkan penipuan dalam talian seperti macau scam, e-belian, love scam dan e-pelaburan semakin serius kerana menunjukkan peningkatan kes setiap tahun.

"Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, kita menerima tiga laporan membabitkan kes penipuan 'macau scam' dengan kerugian hampir RM1.5 juta.

"Kes pertama membabitkan seorang guru wanita kerugian RM736,000, sementara mangsa kedua pula pesara wanita yang kerugian RM532,000.

"Manakala mangsa ketiga membabitkan seorang pesara lelaki apabila lesap RM200,000 dalam sekelip mata," katanya ketika ditemui selepas Kempen Pencegahan Jenayah Penipuan Dalam Talian di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, hari ini.

ROHAIMI mengedarkan risalah kesedaran mengenai jenayah komersil pada Program Kempen Pencerahan Jenayah Dalam Talian di Pasar Besar Kedai Payang. FOTO Zaid Salim
ROHAIMI mengedarkan risalah kesedaran mengenai jenayah komersil pada Program Kempen Pencerahan Jenayah Dalam Talian di Pasar Besar Kedai Payang. FOTO Zaid Salim

Turut serta, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud.

Berikutan itu, katanya, polis akan melipatgandakan usaha pencegahan melalui ceramah dan kempen kesedaran kepada golongan sasaran pada tahun ini.

"Saya mahu pastikan semua institusi pengajian tinggi (IPT) diberi ceramah atau taklimat mengenai kesedaran terhadap jenayah ini khususnya aktiviti penipuan dalam talian.

"Kempen kesedaran juga akan diadakan di masjid, tempat tumpuan awam dan pusat beli-belah bagi menyedarkan masyarakat yang terus menjadi mangsa jenayah itu," katanya.

Katanya, jenayah penipuan dalam talian tidak menyasarkan golongan tertentu sahaja, sebaliknya golongan profesional pun turut menjadi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 5:25 PM