Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Dua tahun tidak menyambut Aidilfitri akibat pandemik Covid-19 membuatkan sebahagian peniaga di Pasar Payang, di sini, teruja menyambut lebaran.

Jika sebelum ini, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan suasana di Pasar Payang suram dan bilangan pengunjung yang datang juga agak terhad.

Bagaimanapun, kelonggaran diberikan kerajaan susulan Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April lalu menyebabkan pasar itu kembali menjadi tumpuan pengunjung memberi barang keperluan harian dan pakaian.

Justeru, sempena kedatangan Aidilfitri, sebahagian peniaga di Pasar Payang mengambil inisiatif menghiaskan kedai mereka.

Malah, peniaga juga sanggup mengeluarkan bajet sendiri untuk membeli tanglung ketupat untuk dipasang di gerai mereka bagi menceriakan suasana di sana.

Peniaga Wan Mohd Arman Wan Abdullah, 37, berkata, idea menghiaskan gerai itu bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri.

"Sebelum ini, kita tidak boleh beraya kerana PKP, jadi apabila kerajaan beri kelonggaran untuk beraya memang kita rasa teruja.

"Kami menggunakan duit sendiri untuk beli barang perhiasan ini, malah sejak ada perhiasan ini, keadaan juga semakin meriah dan pengunjung juga memuji," katanya.

Bagi Mohd Syarafuddin Abdullah, 35, idea memasang itu bermula apabila ada antara mereka menghias kedai mereka sebelum ia menjadi ikutan peniaga lain.

"Kami mula memasang perhiasan ini seminggu selepas berpuasa dan keadaan semakin ceria bila ada hiasan seperti ini.

"Apa yang kami lakukan ini hanya untuk keseronokan dan Alhamdulillah, memang rasa ceria keadaan di pasar apabila ada hiasan seumpama ini," katanya.

WAN Mohd Arman (kanan) dan Mohd Syarafuddin menghias di setiap lorong kedai di Pasar Kedai Payang. FOTO Ghazali Kori.
WAN Mohd Arman (kanan) dan Mohd Syarafuddin menghias di setiap lorong kedai di Pasar Kedai Payang. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 3:17 PM