Jemaah umrah Pakej Istimewa Umrah Andalusia berbaris membuat pemeriksaan masuk  di KLIA sebelum berangkat ke Makkah.FOTO Samadi Ahmad
Jemaah umrah Pakej Istimewa Umrah Andalusia berbaris membuat pemeriksaan masuk di KLIA sebelum berangkat ke Makkah.FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang: Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) memberikan Pakej Istimewa@Khas Umrah serendah RM4,990 kepada 364 jemaah ke Makkah, bulan ini.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia Ida Riswana Idris berkata, tawaran itu diperkenalkan bagi membantu jemaah yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan tidak berkemampuan untuk mengerjakan umrah dengan harga semasa.

Menurutnya, pakej diperkenalkan itu juga bertujuan membantu meringankan beban golongan B40 untuk menunaikan umrah dengan harga mampu milik.

Katanya, pakej 12 hari 10 malam disediakan itu termasuk kos penginapan, penerbangan dan makan minum jemaah sepanjang melaksanakan ibadah berkenaan.

"Kumpulan pertama seramai 183 peserta telah selamat berlepas ke Makkah pada Jumaat lalu manakala kumpulan kedua 181 jemaah akan berlepas awal pagi esok pada jam 2.30 pagi ke Jeddah," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini kira-kira 38,000 jemaah mendaftar bagi pakej musim 1445H manakala bagi musim 1444H seramai 48,000 jemaah.

"Kos yang ditawarkan adalah bermula dari RM6,990 membabitkan pakej 12 hari 10 malam termasuk penerbangan, hotel dan makan minum," katanya.

Sementara itu, jemaah dari Papar, Sabah yang juga pesara polis, Watta Hamidshah, 78, berkata, dia mengetahui pakej ini melalui iklan di media sosial sebelum memohon di cawangan Andalusia di Kota Kinabalu.

Katanya, dia bersyukur permohonannya diluluskan dan dapat mengerjakan umrah dengan harga yang rendah.

"Ini adalah rezeki yang tidak dirancang dan kali kedua dapat mengerjakan umrah selepas 2004," katanya yang mengerjakan haji pada 2017.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 1:06 PM