Foto hiasan.
Foto hiasan.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Mengambil berkat bulan Zulhijah, pengendali pakej ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd membuat penerbangan pertamanya hari ini bagi membawa 175 jemaah umrah di bawah kendaliannya.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undangnya, Ida Riswana Idris, berkata penerbangan itu dibuat kerana pihaknya mahu memberi peluang kepada jemaah yang tidak dapat menunaikan ibadah haji pada tahun ini untuk menunaikan umrah pada bulan terakhir dalam kalendar hijrah itu.

Katanya, untuk penerbangan pertama umrah itu, pihaknya menggunakan visa pelancong kerana sistem umrah belum dibuka dan ia hanya boleh digunakan bermula 30 Julai ini (1 Muharam 1444H).

"Walaupun kita masih lagi dalam tahun 1443H, bagaimanapun musim haji masih belum berakhir di sana, jadi ini pertama kali dalam sejarah yang kita laksanakan jemaah umrah akan bertembung dengan jemaah haji yang masih di sana.

"Selain itu kita juga menjangkakan 60,000 jemaah akan mengerjakan umrah di bawah kendalian Andalusia, berikutan itu kita sudah memajak tiga hotel di sana bagi menampung jumlah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Sebelum ini Andalusia memeterai perjanjian dengan penerbangan Malaysia Airlines A330-200 bagi membawa jemaah umrah untuk tahun 1444H.

Pemeterian itu dibuat bagi membawa 34,000 jemaah umrah menerusi penerbangan terus ke Madinah bermula Ogos ini hingga Mei 2023.

Selain Malaysia Airlines, Andalusia turut menggunakan Saudi Airlines dan Turkish Airlines bagi urusan penerbangan jemaah.

Bagi pakej ekonomi untuk mengerjakan umrah, ia bermula RM6,990 seorang manakala yang mahukan pakej lima bintang ia bermula dengan harga RM7,990.

Buat julung kalinya, jemaah yang menggunakan perkhidmatan Andalusia bagi pakej umrah dalam tempoh Ogos hingga Mei 2023, mereka akan mendapat Ziarah Taif secara percuma.

Sebelum ini, jemaah yang ingin membuat Ziarah Taif perlu membayar sekitar RM214 (180 Arab Saudi Riyal).

Sementara itu, jemaah umrah, Ahmad Kassim, 74, berkata beliau sudah menggunakan beberapa kali perkhidmatan yang disediakan oleh Andalusia bagi mengerjakan umrah buat dirinya dan keluarga.

"Saya sudah mengerjakan haji pada tahun 2000 dan kemudiannya pergi menunaikan umrah 10 tahun kemudian dengan menggunakan pakej Andalusia.

"Dengan pengalaman lalu dengan Andalusia, kita rasa selesa dan berpuas hati berikutan itu mahu menggunakan ejen yang sama pada tahun ini.

"Malah, mereka turut menyediakan pilihan kepada pelanggan untuk memilih tempat penginapan sama ada yang dekat atau jauh. Disebabkan keadaan saya yang tidak begitu sihat, ia memudahkan untuk duduk berdekatan. Apa yang kita mahukan Andalusia boleh sediakan," katanya.

Ahmad yang berasal dari Batu Pahat itu berkata, ini adalah umrahnya kali kedua bersama isteri, Halisan Kaimon, 72, manakala kali pertama bersama anak lelakinya, Kirman Ahmad, 45.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 5:35 PM