IDA Riswana (kiri) bersama Muhammed Hamza Arslan menukar dokumen perjanjian pada majlis MOU Turkish Airlines bersama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd bagi musim 1444H 2022/2023. FOTO Rohanis Shukri
IDA Riswana (kiri) bersama Muhammed Hamza Arslan menukar dokumen perjanjian pada majlis MOU Turkish Airlines bersama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd bagi musim 1444H 2022/2023. FOTO Rohanis Shukri
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) menandatangani perjanjian bersama Turkish Airlines bagi membawa kira-kira 6,500 jemaah umrah dan pelancong ke Turkiye dengan nilai kontrak keseluruhan RM25 juta.

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris berkata, perjanjian itu adalah bagi musim 1444 Hijrah 2022/2023 untuk pelepasan antara Ogos 2022 sehingga Mei 2023.

Katanya, kerjasama Andalusia Travel dengan Turkish Airlines sudah terjalin 10 tahun dan berikutan sempadan antarabangsa sudah mula dibuka, pihaknya yakin kerjasama itu akan terus mengorak langkah dalam menawarkan pengalaman pelancongan terbaik kepada jemaah Malaysia.

"Bagi musim kali ini, ia membabitkan 111 penerbangan bagi menempatkan 5,040 penumpang jemaah umrah dan ziarah membabitkan RM1.76 juta nilai kontrak keseluruhannya.

"Melalui kerjasama ini juga kami percaya ia akan meningkatkan kepercayaan kepada pentadbiran Andalusia Travel untuk jemaah umrah khasnya.

"Andalusia Travel akan terus komited mengekalkan dan mempertimbangkan mutu perkhidmatan yang baik dan selesa kepada jemaah umrah dianggarkan 60,000 keseluruhannya.

"Andalusia Travel turut menawarkan pakej umrah ziarah komprehensif ke Turkiye bermula RM8,990.

"Kelebihan kami berkolaborasi dengan syarikat di sana untuk membawa pelancong ke tempat menarik dan mempunyai pemandu pelancong yang boleh berbahasa Melayu," katanya di majlis memeterai perjanjian bersama Turkish Airlines di sini, hari ini.

Ida berkata, pihaknya optimis pakej umrah ziarah ke Turkiye, negara yang kaya warisan sejarah dan tamadun Islam itu akan mendapat sambutan.

Sementara itu, Pengurus Negara Turkish Airlines, Muhammed Hamza Arslan berkata, setakat ini, terdapat 10 penerbangan terus Turkish Airlines ke Malaysia setiap minggu, dan pihaknya menjangkakan jumlah penerbangan itu akan meningkat kepada 14 kali seminggu pada tahun depan.

Beliau berkata, kerjasama dengan Andalusia Travel terjalin sejak 2013 dan setiap tahun, permintaan untuk kapasiti penumpang sentiasa meningkat.

"Banyak tempat menarik di Turkiye yang boleh dilawati dan kami di Turkish Airlines komited memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelancong Malaysia termasuk jemaah umrah ziarah daripada Andalusia Travel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 1:16 PM