GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Ipoh: Dua lelaki maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan treler membawa muatan habuk kayu di Kilometer 20 Lebuhraya Timur Barat membabitkan laluan Tasik Banding menghala Gerik hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata dalam kejadian yang dilaporkan pada 5.17 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 30-an tersepit dalam kereta jenis Proton Wira dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Anggota bomba yang ditugaskan ke tempat kejadian bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat (pemotong hidraulik/spreader)," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sabarodzi berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk tindakan lanjut, manakala pemandu serta kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya operasi tamat pada 7.39 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 10:41 PM