Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan merogol anak tirinya dalam kejadian 2018 dan 2019 lalu.

Tertuduh berusia 29 tahun membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 10 tahun di sebuah kediaman di Kampung Bagan Buaya, Changkat, Nibong Tebal jam 11 malam pada Disember 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 11 tahun pada 2019, jam 9 pagi di lokasi sama.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon supaya tiada sebarang jaminan ditawarkan memandangkan tertuduh difahamkan tinggal sebumbung dengan mangsa yang ketika ini berusia 15 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya jaminan diberikan dengan alasan dia menanggung keluarga termasuk tiga anak berusia lima bulan hingga tiga tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan dengan dia dilarang mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai, selain perlu tinggal berasingan daripada mangsa.

Kes akan disebut semula pada 21 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 12:30 PM