Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Tukang kebun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap lima pertuduhan merogol serta mencabul anak tirinya antara Disember 2018 hingga Mei lalu di sebuah rumah di Tanah Merah.

Tertuduh berusia 58 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memegang anggota badan anak tirinya yang pada ketika itu berusia 12 tahun tujuh bulan pada jam 11 malam di sebuah rumah di Tanah Merah pada Disember 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun serta sebatan, jika disabit kesalahan.

Hukuman itu juga dibacakan bersama Seksyen 16 akta yang sama iaitu tambahan pemenjaraan tidak melebihi lima tahun serta tidak kurang daripada dua sebatan, memandangkan wujud hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.

TERTUDUH didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap lima pertuduhan merogol serta mencabul anak tirinya antara Disember 2018 hingga Mei lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TERTUDUH didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap lima pertuduhan merogol serta mencabul anak tirinya antara Disember 2018 hingga Mei lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, tertuduh didakwa merogol anak tiri iaitu mangsa yang sama di mana perhubungan tertuduh tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.

Kejadian itu berlaku di lokasi sama masing-masing pada Januari hingga April 2019, Februari 2020, April dan 12 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta 10 kali sebatan minimum, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna Itah memohon mahkamah supaya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh bagi melindungi keselamatan mangsa selain keadaan mangsa yang masih trauma.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 18 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 12:24 PM