Juruteknik didakwa atas 12 pertuduhan termasuk merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak tiri perempuan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Juruteknik didakwa atas 12 pertuduhan termasuk merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak tiri perempuan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang juruteknik syarikat pembersihan sisa klinikal dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas 12 pertuduhan termasuk amang seksual, rogol dan melakukan seks dengan objek terhadap dua anak perempuan tirinya berusia 11 dan 15 tahun.

Tertuduh berusia 44 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan dan diterangkan semua pertuduhan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-10, tertuduh didakwa atas empat tuduhan dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal serta masing-masing tiga tuduhan, merogol dan melakukan seksual terhadap anak perempuan tirinya berusia 11 tahun.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pada tarikh dan masa berbeza antara awal Mac 2023 jam 2 hingga 3 petang; pertengahan dan hujung Mei 2023 antara 5 petang hingga 6 petang dan 1 Januari lalu antara 4.30 hingga 6 petang.

Bagi pertuduhan ke-11 dan 12, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi anak tirinya berusia 15 tahun di tempat sama pada Julai dan September lalu, kira-kira 11 malam.

Pertuduhan rogol dikemukakan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga tidak kurang lapan tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan.

Bagi pertuduhan amang seksual fizikal dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat.

Sementara itu, pertuduhan melakukan seks menggunakan objek pula mengikut Seksyen 377C yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.

Berikutan tertuduh mengaku tidak bersalah, Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom memohon tarikh sebutan baharu bagi serahan dokumen serta tidak menawarkan jaminan.

Namun, katanya jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara memberikan jaminan, pendakwaan memohon ditetapkan sebanyak RM70,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan.

Peguam Umar Zulkarnain memberitahu abang kandung tertuduh bersedia menjaminnya dan memohon jumlah jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM40,000 berserta syarat tambahan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes, sekali sebulan sehingga kes selesai selain dilarang mengganggu atau menghubungi mangsa dan mana-mana saksi pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 2:18 PM