GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Imam Masjid Felda Raja Alias 2 di sini, meninggal dunia selepas buah kelapa yang dikait jatuh ke atas kepala, jam 8.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa, Aisa Ujang, 66, meninggal dunia selepas dua jam menerima rawatan di Hospital Jempol.

Katanya, berdasarkan keterangan anak mangsa, kejadian di belakang rumah berikutan mangsa ada menanam pokok kelapa.

"Buah kelapa akan dikait selang dua minggu untuk dijual kepada peniaga dan kejadian itu disaksikan isteri mangsa.

""Sebaik kejadian, isteri mangsa terus mendapatkan bantuan ahli keluarga dan jiran berdekatan untuk menghantar mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun dia disahkan meninggal dunia selepas dua jam menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan.

Hoo berkata, doktor yang memberi rawatan mendapati tiada kesan luka disebabkan senjata tajam seperti parang atau sabit.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan dalaman pada bahagian kepala akibat buah kelapa yang jatuh ke atas kepala.

"Anak mangsa juga turut memaklumkan mangsa mempunyai sejarah sakit jantung sejak 2018 dan darah tinggi sejak 2010 dan sentiasa mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran sehingga kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 7:32 AM