ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa. FOTO Ihsan Polis.
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa. FOTO Ihsan Polis.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Jururawat dipercayai cuba mengelak anjing di tengah jalan sebelum kereta dipandunya bertembung dengan Proton Wira di Kilometer 19 Jalan Bahau - Kemayan dekat Air Hitam di sini, hari ini.

Kemalangan pada 8.11 pagi itu menyebabkan pemandu Proton Wira yang juga seorang peniaga wanita meninggal dunia, manakala dia yang memandu Toyota Vios parah di bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila jururawat berusia 30 tahun dari arah Air Hitam menuju Kemayan, Pahang cuba mengelak seekor anjing di laluannya.

"Berikutan itu, kereta jururawat berkenaan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta mangsa.

"Pertembungan menyebabkan mangsa iaitu Nor Asmah Ja'afar berusia 55, dari Felda Lui Selatan 2 parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat, manakala jururawat berkenaan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 2:30 PM