Nazdy Harun


Kuala Berang: Musim peralihan monsun yang semakin hampir mendorong penduduk di Pusat Pemindahan Semula Kampung (PPSK) Gunung Menerong di sini, melakukan persiapan awal bagi menghadapi musim tengkujuh.

Penduduk, Zaiton Latif, 62, berkata, sebagai langkah awal menghadapi musim tengkujuh yang berlaku saban tahun memaksanya membeli perancah dan papan lapis bertujuan untuk membina rak untuk menempatkan barangan di tempat lebih selamat atau tinggi.

Menurutnya, selain membina rak atau lebih sinonim dengan panggilan 'rang' dia juga menyimpan barangan di dalam sebuah stor khas yang dibina dengan strukturnya lebih tinggi.

Katanya, rang didirikan di dalam rumah, manakala stor pula berada di luar rumah untuk menempatkan barangan harian seperti pakaian dan alatan dapur selain mudah untuk diambil sekiranya mahu digunakan.

"Stor pula digunakan untuk menyimpan barangan rumah dalam tempoh lebih lama bagi mengelak kesuntukan masa sekiranya banjir berlaku secara mendadak.

"Saya membelanjakan kira-kira RM600 untuk membeli besi perancah dan papan lapis untuk dijadikan rang menyimpan barang dan kaedah ini difikirkan lebih cepat dan mudah," katanya yang juga seorang ibu tunggal.

Menurutnya, saban tahun satu atau dua kali akan berdepan fenomena banjir sejak tinggal di PPSK berkenaan dan kejadian paling teruk berlaku pada penghujung Februari tahun lalu.

Katanya, saban tahun setiap kali tibanya musim peralihan monsun dia akan membuat persiapan awal bagi menghadapi kejadian alam itu.

Zaiton berkata, pengalaman setiap tahun berdepan fenomena banjir mendorongnya untuk membuat persiapan awal bagi mengurangkan impak kerugian.

Menurutnya, banjir akhir Februari tahun lalu meninggalkan kesan yang teruk selain dia hanya tinggal sehelai sepinggang berikutan rumah tenggelam sepenuhnya.

Jirannya, Kamsawiah Shafie, 45, pula berkata, bagi mengurangkan risiko kerosakan barangan apabila berlakunya banjir, suaminya Abdul Samad Mamat, 54, membeli besi perancah dan papan lapis sejak seminggu lalu dengan membelanjakan kia-kira RM1,300.

"Barang-barang kegunaan harian seperti tilam, pakaian dan barangan dapur akan diletakkan di atas rang yang dibina sepanjang musim banjir.

"Memandangkan setiap tahun berdepan banjir mendorong saya sekeluarga tidak membeli perabot manakala alatan elektrik hanya menggunakan peralatan tertentu sahaja.

"Televisyen juga saya tidak beli, kerana sering musnah akibat banjir, manakala peti sejuk dan mesin basuh serta alatan elektrik kegunaan dapur disumbangkan orang ramai selepas kejadian banjir besar pada tahun lalu," katanya.

Menurutnya, pengalaman sepanjang 16 tahun tinggal di PPSK berkenaan memberi banyak pengajaran buatnya untuk melakukan persiapan awal apabila tibanya musim peralihan monsun.

Katanya, sekarang juga cuaca sudah tidak menentu dan setiap kali berlakunya banjir rumahnya akan ditenggelami banjir sedalam 1.5 hingga dua meter.

"Banjir pada tahun lalu disifatkan paling dahsyat kerana keseluruhan rumah tenggelam dan penduduk menyelamatkan diri dengan lari ke bukit berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 1:17 PM
Zaiton memasang perancah besi sebagai persiapan awal bagi menghadapi musim tengkujuh. FOTO NAZDY HARUN
Zaiton memasang perancah besi sebagai persiapan awal bagi menghadapi musim tengkujuh. FOTO NAZDY HARUN