MANSOR Ali bersama isterinya Maznah menyimpan barangan di dalam rumah di ruang yang lebih tinggi. FOTO Nazdy Harun
MANSOR Ali bersama isterinya Maznah menyimpan barangan di dalam rumah di ruang yang lebih tinggi. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun

Kuala Berang: "Apabila tibanya musim tengkujuh bukan saja barangan di dalam rumah perlu dialihkan ke tempat tinggi, malah tidur juga tidak lena kerana bimbang keselamatan.

"Walaupun sudah lali dengan kejadian banjir yang berlaku saban tahun, namun faktor keselamatan amat diutamakan," kata Maznah Mat Yasin, 54, dari Kampung Kemat di sini.

Menurutnya, rumahnya antara yang terkesan sekiranya berlaku banjir di kampung itu berikutan kedudukan rumah di kawasan rendah.

Katanya, tibanya musim monsun timur laut (MTL) dia akan melakukan persiapan awal dengan mengalihkan barangan di dalam rumahnya ke tempat lebih tinggi.

"Biasanya kedalaman air akan mencecah 0.5 meter hingga melebihi dua meter dan saya juga tidak menggunakan perabot kayu bagi mengelak kerugian.

"Saban tahun, sejak 30 tahun tinggal di kampung ini, saya akan berdepan lima hingga enam kali air melimpah ke dalam rumah.

"Dalam tempoh MTL kira-kira dua hingga tiga kali, saya akan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan sekiranya air tidak begitu dalam saya hanya berteduh di rumah sahaja," katanya.

Menurutnya, limpahan air Sungai Por dan alur sungai berhampiran rumah mendorong berlakunya banjir dengan kerap.

Katanya, hujan lebat lebih dua jam sudah memadai hingga menyebabkan rumahnya ditenggelami banjir dan langkah dia mengambil berjaga-jaga pada musim tengkujuh bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Nak tidur malam pun tidak lena kerana minggu lalu selepas hujan lebat beberapa jam saya terpaksa berpindah semalaman ke balai raya berhampiran.

"Begitu juga dengan barangan, kalau beli yang baru akan mengalami kerosakan, jadi saya ambil keputusan tidak membeli perabot baru dan peralatan elektrik bagi mengelak kerugian.

"Berikutan semua peralatan sudah dialihkan, contohnya mesin basuh, saya kini terpaksa membasuh secara manual sehinggalah ia dibawa turun semula selepas tamat musim tengkujuh," katanya.

Suaminya, Mansor Ali, 56, berkata, pengalaman sering berdepan bencana banjir membolehkan dia membuat persiapan awal.

"Barang yang boleh dipindahkan, saya akan letak di tempat lebih tinggi, manakala dokumen penting pula akan disimpan di tempat selamat dan mudah diambil sekiranya rumah ditengelami banjir.

"Apa yang lebih penting adalah berjaga-jaga dan soal keselamatan kerana kawasan kampung ini sememangnya terdedah dengan banjir setiap tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 2:04 PM