Muhammad Yazid menunjukkan kayu untuk pembinaan pondok ditempatkan di kawasan tebing bukit. FOTO NAZDY HARUN
Muhammad Yazid menunjukkan kayu untuk pembinaan pondok ditempatkan di kawasan tebing bukit. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Kuala Berang: Hujan berterusan sejak kelmarin mendorong pelajar Madrasah Addiniah Azzakiah (MAA), di sini, membuat persiapan dengan menyimpan kayu-kayu untuk pembinaan madrasah ke tempat lebih tinggi.

Selain itu, mereka juga menyediakan tong-tong plastik bagi membina rakit besar sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapiperalihan Monsun Timur Laut (MTL).

Pengasas MAA, Zaki Masur, 48, berkata Kampung Lubuk Periuk, di sini, saban tahun akan berdepan banjir dan persiapan awal sudah dilakukan bagi mengurangkan impak kerosakan sekiranya banjir besar berlaku.

Menurutnya, sebagai contoh kayu-kayu yang diwakafkan untuk pembinaan pondok bagi menempatkan pelajar dialihkan ke kawasan bukit berhampiran.

Katanya, pengalaman lalu banyak mengajar kerana kayu-kayu yang tidak dialih ke kawasan selamat akan dihanyutkan sekiranya berlaku banjir.

"Madrasah ini salah satu kawasan yang sering dilanda banjir, justeru persiapan awal perlu dilakukan termasuk memindahkan barangan, kitab-kitab, buku dan sebagainya ke bangunan lebih tinggi.

"Kawasan madrasah ini pernah ditenggelami banjir setinggi 3.5 hingga empat meter pada kejadian yang berlaku penghujung Februari tahun lalu," katanya.

Menurutnya, tong-tong plastik hasil sumbangan orang ramai juga dibeli untuk dijadikan rakit kerana mereka tidak mempunyai kemudahan bot.

Katanya, selain mengalihkan barangan, kayu untuk pembinaan madrasah dan membina rakit, pihaknya juga turut memasang sebuah kanopi di kawasan bukit untuk dijadikan tempat memasak.

"Sekiranya kawasan madrasah sukar untuk diakses, maka tebing bukit akan dijadikan tempat memasak dan berteduh sekiranya berlaku banjir besar.

"Insya-Allah saya berharap walaupun banjir, ia tidak sebesar yang berlaku pada hujung Februari tahun lalu," katanya.

Pelajar, Muhammad Yazid Zahid Hussain, 25, berkata pengalaman berdepan banjir saban tahun membolehkan penghuni membuat percaturan awal.

"Kami bersama ustaz (pengasas) bergotong-royong mengalihkan kayu-kayu yang diwakafkan ke tebing bukit.

"Begitu juga buku, kitab, peralatan-peralatan lain turut dialih dan ianya sudah menjadi rutin buat pelajar yang tinggal di madrasah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 2:52 PM