DR Zaliha (kiri) melihat Ameera Raissa, 4, menerima vaksin Pneumokokal ketika Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli (berdiri, empat kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Zaliha (kiri) melihat Ameera Raissa, 4, menerima vaksin Pneumokokal ketika Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli (berdiri, empat kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) memperluaskan pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 menerusi inisiatif imunisasi Catch-Up Pneumokokal (CHUP) yang akan bermula esok hingga 31 Mei tahun depan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif itu bagi mengoptimumkan perlindungan terhadap penyakit pneumokokal invasif dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

"Berdasarkan data KKM, kadar discaj akibat penyakit pneumokokal invasif di hospital KKM adalah tinggi dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

"Bagi pemberian vaksin itu, ibu bapa boleh bawa anak-anak ke mana-mana fasiliti kita secara 'walk-in.'

"Selain itu, ada juga janji temu melalui MySejahtera. Jadi mereka (ibu bapa) boleh pergi ke aplikasi MySejahtera untuk buat tempahan bagi mendapatkan vaskin di semua fasiliti kesihatan," katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 bertemakan 'Tingkatkan Liputan, Kurangkan Keciciran' di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, KKM menyasarkan 700,000 daripada sejuta kanak-kanak berusia empat dan lima tahun untuk menerima suntikan vaksin itu.

Dr Zaliha berkata, KKM sudah melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal dalam Program Imunisasi Kebangsaan kepada kanak-kanak yang lahir bermula 1 Januari 2020.

Katanya, program imunisasi yang dijalankan di peringkat global menunjukkan penurunan kadar kematian bagi kanak-kanak bawah lima tahun di seluruh dunia.

"Bagi negara ini, penurunan kadar kematian bagi kanak-kanak bawah lima tahun daripada 158 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada tahun 1950 kepada 7.4 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada 2021," katanya.

"Pencapaian liputan imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak adalah tinggi di peringkat kebangsaan dan mencapai sasaran yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu melebihi 95 peratus bagi kebanyakan vaksin utama dalam program imunisasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 12:29 PM