Sammy memeriksa dokumen dua penghuni rumah di kawasan setinggan di Penampang. FOTO JUWAN RIDUAN
Sammy memeriksa dokumen dua penghuni rumah di kawasan setinggan di Penampang. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Penampang: Dua lokasi setinggan di daerah ini digempur polis dalam Op Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, awal pagi tadi.

Operasi bermula 9 malam dan berakhir 2 pagi dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Daerah Penampang (MDP).

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihak berkuasa memeriksa seramai 49 individu.

"Hasil pemeriksaan menahan seramai 15 pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Semua yang ditahan iaitu 12 warga Filipina dan tiga warga Indonesia kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua individu ditahan mengikut kesalahan Seksyen 6 (1) (c) diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, operasi yang diketuainya itu membabitkan keseluruhan kekuatan 38 pegawai kanan dan anggota polis, 13 penguasa Imigresen, 15 penguat kuasa MDP dan empat pegawai JPN.

"Polis akan mempergiat operasi seperti ini dalam usaha mengekang kemasukan dan kebanjiran Pati di dalam daerah ini.

"Polis juga menasihatkan masyarakat setempat supaya tidak memberikan ruang kepada Pati untuk mendirikan kediaman di tanah milik persendirian ataupun menyewakan kepada mereka.

"Tindakan menawarkan tempat tinggal atau tempat kerja kepada Pati adalah kesalahan yang menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 2:46 PM