GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Penampang: Tiga individu termasuk sepasang kekasih ditahan bersama dadah jenis syabu dan ganja bernilai hampir RM300,000 dalam serbuan di dua lokasi berasingan, pada 24 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek pertama berjaya ditahan pada jam 1.30 petang di Kampung Nambazan, di sini.

Katanya, suspek yang memandu Perodua Bezza seorang diri didapati membawa ketulan hablur disyaki syabu seberat 38.22 gram dan tumbuhan kering disyaki ganja seberat 24.36 gram.

"Suspek berusia 31 tahun itu mengaku bertindak sebagai pengedar dadah dan menjadi 'penjaga' bahan larangan berkenaan bersama seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Eric.

"Suspek turut mendedahkan semua dadah berkenaan disimpan di sebuah kondominium mewah di Jalan Damai, Luyang," katanya pada sidang media di IPD Penampang, hari ini.

Sammy berkata, berdasarkan maklumat suspek, polis menyerbu kediaman berkenaan dan menahan dua individu termasuk seorang wanita berusia 31 dan 33 tahun.

Katanya, suspek lelaki kedua cuba bertindak agresif untuk cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pasukan serbuan.

"Pemeriksaan lanjut berjaya menemui plastik hitam berisi lapan bungkusan lutsinar yang disembunyikan di dalam almari pakaian.

"Anggaran berat keseluruhan dadah yang dirampas adalah 6,431.19 gram. Semua rampasan dan tangkapan terus dibawa balik ke IPD Penampang," katanya.

Sammy berkata, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan Nissan Fairlady untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bersama Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 4:13 PM