Antara PATI yang ditahan dalam Op Bersepadu PATI di Penampang. FOTO Juwan Riduan
Antara PATI yang ditahan dalam Op Bersepadu PATI di Penampang. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

Penampang: Dua lokasi penempatan setinggan di daerah ini digempur polis dalam Op Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, awal pagi hari ini.

Operasi bermula 9 malam dan berakhir 2 pagi dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Daerah Penampang (MDP).

Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata, seramai 49 individu diperiksa dalam operasi itu.

"Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang terdiri daripada 12 warga Filipina dan tiga warga Indonesia ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, semua individu yang ditahan mengikut kesalahan Seksyen 6 (1) (c) dan diserahkan kepada JIM untuk tindakan selanjutnya.

"Pihak polis akan mempergiat operasi seperti ini dalam usaha untuk mengekang kemasukan dan kebanjiran Pati di daerah ini.

"Polis juga menasihatkan masyarakat setempat supaya tidak memberikan ruang atau peluang kepada Pati untuk mendirikan kediaman di tanah milik persendirian ataupun menyewakan rumah kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 1:09 PM