ANTARA koleksi Harley-Davidson Sultan Ibrahim Iskandar. FOTO ihsan Royal Press Office
ANTARA koleksi Harley-Davidson Sultan Ibrahim Iskandar. FOTO ihsan Royal Press Office
Mohd Fahmi Mohd Yusof


SULTAN JOHOR, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mempamerkan koleksi motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson milik baginda pada Minggu Permotoran Malaysia 2018 (MBW 2018) yang akan berlangsung bulan depan. Catatan terbaru di Facebook rasmi baginda memaklumkan, pameran berkenaan akan diadakan di program jambori permotoran terbesar yang julung kali diadakan di negara ini dari 23 hingga 25 Mac ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

MBW 2018 dijangka menarik kehadiran 100,000 peserta termasuk dari luar negara.

Menurut kenyataan itu lagi, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Presiden Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru, hari ini.

Dalam pertemuan hampir 30 minit itu, Ab Rauf turut mempersembahkan surat jemputan kepada Sultan Ibrahim sempena penganjuran program berkenaan. Sultan Johor sememangnya mahir mengendalikan motosikal berkuasa tinggi malah baginda pernah beberapa kali menunggang Harley-Davidson bercorak harimau dalam siri jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ).

Program MBW 2018 bakal menghimpunkan penunggang motosikal pelbagai kategori dan jenama iaitu Superbike, Easy Rider, kapcai, klasik, Vespa dan Lady Bikes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 7:53 PM