PESERTA bersiap sebelum memulakan konvoi.
PESERTA bersiap sebelum memulakan konvoi.
ANTARA peserta yang menyertai Ladies of Harley Malaysia 2018 ke Melaka.
ANTARA peserta yang menyertai Ladies of Harley Malaysia 2018 ke Melaka.
Ahirine Ahirudin


Peminat jentera dua roda bukan hanya khusus kepada kaum lelaki, malah turut diminati golongan wanita yang mahu merasai keseronokan menunggang motosikal.

Baru-baru ini, Harley-Davidson Petaling Jaya me­nganjurkan konvoi motosikal Ladies of Harley Malaysia 2018 ke Melaka.

Seramai 22 peserta termasuk selebriti Fauziah Latiff dan bekas pelumba basikal negara, Mariana Mohammad turut menyertai konvoi berkenaan.

Sejak awal pagi, peserta berhimpun di ibu pejabat Harley Davidson Malaysia di Petaling Jaya sebelum memulakan konvoi.

Sebagai penunggang wanita, penulis turut berasa teruja bertemu peserta konvoi terdiri daripada kaum hawa.

Ramai pelumba berpe­ngalaman turut serta tetapi keseronokan mula terpancar sebaik semua peserta tiba dan meletakkan motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson masing-masing di The Gasket Alley, Petaling Jaya.

Menurut Fauziah, dia sentiasa menantikan konvoi seperti itu bersama peserta wanita lain.

“Saya memang minat motosikal dan sudah menunggang hampir 10 tahun.

“Peminat motosikal tidak kisah mengenai cuaca sama ada panas terik atau hujan, konvoi mesti diteruskan,” katanya.

Bermula dari The Gasket Alley, peserta berkonvoi ke Asam Pedas Lagenda untuk menikmati makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke Harley-Davidson Melaka di Taman Kota Laksamana.

Destinasi terakhir konvoi adalah Villa DeMaison di A’Famosa Resort di Alor Gajah untuk bermalam sebelum bertolak pulang ke ibu negara, esoknya.

Sementara itu, Mariana berkata, menunggang motosikal sangat berbeza dan penunggang akan melupakan segala-galanya kecuali kebebasan.

“Mengenai Ladies of Harley Malaysia, aktiviti ini lebih kepada berpaksikan elemen ‘sisterhood’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 2:22 PM