Datuk Omar Osman ketika sidang media di Larkin di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
Datuk Omar Osman ketika sidang media di Larkin di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (Kupekmas) berharap kenaikan pencen pesara kakitangan kerajaan sebanyak dua peratus secara tahunan dikekalkan sehingga kerajaan melaksanakan pelarasan gaji baharu bagi penjawat awam.

Pengerusinya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya bimbang jika kenaikan tahunan itu dihentikan tanpa sebarang penilaian teliti, ia menjejaskan golongan berkenaan pada masa depan.

Beliau berkata, pelarasan gaji itu juga perlu dibuat bagi memastikan manfaat yang bakal diterima oleh lebih sejuta pesara kerajaan adalah melebihi manfaat diterima selama ini.

"Kira-kira 80 peratus daripada lebih sejuta ahli Kupekmas adalah golongan dalam kumpulan M40 dan B40. Dalam kalangan mereka ini, ada yang menerima gaji sekitar RM1,000 ketika mereka bekerja dahulu.

"Jadi, kenaikan tahunan sebanyak dua peratus itu sendiri tidak terlalu besar, namun jika ia dihentikan tanpa sebarang pelarasan gaji baharu, ramai pesara kerajaan akan terjejas.

"Perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku kerana kos sara hidup ketika ini semakin meningkat dengan pelbagai tekanan ekonomi turut dirasai mereka," katanya ketika sidang media yang diadakan di Larkin di sini, hari ini.

Menurut Omar, pihaknya juga berharap kerajaan akan menyegerakan pelarasan gaji kakitangan awam yang secara tidak langsung akan turut beri manfaat kepada pesara kerajaan ketika ini.

"Kita tidak mahu pesara kerajaan kehilangan manfaat yang diterima sejak 10 tahun lalu tanpa digantikan dengan apa-apa inisiatif lain dan kita juga tidak mahu kadar pencen yang diterima selepas kenaikan tahunan dua peratus itu dikembalikan kepada pencen asal.

"Kerajaan diharap tidak memandang ringan jasa dan pengorbanan yang dibuat golongan pesara sepanjang mereka berkhidmat dengan kerajaan dan jangan biarkan mereka terus hidup dalam kemiskinan," katanya.

Sebelum ini, panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan peruntukan yang membenarkan kenaikan pencen dengan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun, bercanggah dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.

Sehubungan itu, panel dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pindaan terbabit sebagai terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan berpendapat Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang betul dalam mengekalkan status quo Seksyen 3 dan 6 iaitu sebelum pindaan 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 3:34 PM