AMIRUDIN ditemui selepas Majlis Menandatangani Kerjasama antara Daiso Malaysia Group Sdn Bhd dan Kajima-Suncon. FOTO Faiz Anuar
AMIRUDIN ditemui selepas Majlis Menandatangani Kerjasama antara Daiso Malaysia Group Sdn Bhd dan Kajima-Suncon. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Selangor menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKM) bersetuju menyah rahsia laporan penuh tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Disember tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan penuh yang terperinci itu juga akan diserahkan kepada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Kita (sudah) boleh serah kepada Nadma untuk Nadma paparkan di laman sesawangnya ataupun diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

"(Berhubung saranan atau tindakan) itu akan dibuat pihak berkuasa sebab laporan itu sangat teknikal dan itu dipaparkan di laman web Nadma untuk perhatian semua pihak.

"Jadi, semua pihak boleh mengambil tindakan selanjutnya. Namun, yang jelas adalah ia adalah laporan teknikal menjelaskan bagaimana berlakunya peristiwa itu (tanah runtuh)," katanya diminta mengulas perkembangan terkini berhubung perkara itu kepada media di sini, hari ini.

Katanya, nama pemilik tapak perkhemahan juga terdapat pada laporan berkenaan dengan beberapa kawasan terjejas adalah milik perhutanan dan rizab jalan.

Sebelum ini, mangsa yang terselamat dalam kejadian itu memohon kerajaan mendedahkan laporan siasatan bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan.

Tragedi pada jam 2.30 pagi 16 Disember itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 31 terkorban, manakala 61 terselamat ketika semua mangsa berada di sebuah tapak perkhemahan di Father's Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali.

Pada Januari lalu, media melaporkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, laporan awal tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, sudah dibentangkan ke Kabinet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 6:28 PM