Tragedi tanah runtuh yang berlaku 16 Disember lalu. FOTO ARKIB NSTP
Tragedi tanah runtuh yang berlaku 16 Disember lalu. FOTO ARKIB NSTP
Oleh Amir Mamat


Melaka: Laporan lengkap tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lalu kini di peringkat akhir penyediaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah siap sepenuhnya dan sudah diserahkan kepada beberapa jabatan serta agensi berkaitan serta kerajaan Selangor untuk ulasan.

"Jalan Batang Kali (lokasi kejadian) adalah dalam kategori Jalan Negeri, justeru semua laporan yang kita siapkan akan dikemukakan kepada kerajaan Selangor.

"Sekarang kita masih menunggu ulasan daripada kerajaan Selangor serta kementerian lain yang terbabit. Di peringkat JKR, kita sudah siapkan sepenuhnya dan saya harap pihak berkaitan dapat menyegerakan laporan berkenaan," katanya selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan JKR Malaysia 2023, di sini, hari ini.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada jam 2.30 pagi itu membabitkan 92 mangsa dengan 31 terkorban manakala 61 terselamat.

Berdasarkan laporan awal kejadian itu, tanah runtuh terbabit yang berlaku di tepi jalan berhampiran Father's Organic Farm menghempap sebuah tapak perkhemahan.

Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan 0.4 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 3:06 PM