Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: "Sehingga kini saya masih sebak dan bergenang air mata setiap kali melihat pakaian dan bilik tidurnya, malah saya berasa dia seakan masih ada di rumah ini tetapi saya menerima takdir ini dengan reda," kata Siti Esah Hassan, 53.

Siti Esah adalah ibu kepada Allahyarham Nurul Azwani Kamaruzaman, 31, mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor pada 16 Disember lalu.

Dia yang masih bersedih dengan kehilangan anak kesayangannya itu mengakui dapat merasai anak sulungnya itu memanggil namanya pada hari kejadian.

"Anak seorang yang periang dan banyak mulut, sekarang rumah saya sunyi tanpanya. Setakat ini saya belum boleh tidur dalam biliknya, malah melihat pakaiannya saja sudah buat saya sebak.

"Walaupun kejadian berlaku hampir dua minggu tetapi saya masih teringat, malah merasakan dia mungkin memanggil nama saya ketika meminta tolong dalam kejadian itu," katanya.

Siti Esah ditemui pada penyerahan bantuan kematian kepada waris mangsa kejadian tanah runtuh Batang Kali yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di rumahnya di Lorong Haji Abdullah, Kampung Batu di sini, hari ini.

Bantuan diserahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Terdahulu, Armizan menyerahkan bantuan itu kepada waris mangsa, Tong Chee Kong, 46, yang kehilangan isteri dan anak dalam kejadian itu di rumahnya di Taman Dato Senu, Sentul, di sini.

Bagaimanapun Siti Esah berkata, dia reda dengan kejadian menyayat hati itu dan akan menguatkan semangat untuk meneruskan kehidupan, namun kenangan bersama arwah Nurul Azwani sentiasa dalam ingatannya.

SITI Esah menunjukkan gambar Allahyarham Nurul Azwani yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm. FOTO Azhar Ramli.
SITI Esah menunjukkan gambar Allahyarham Nurul Azwani yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm. FOTO Azhar Ramli.

Sementara itu, Tong yang juga suami dan bapa kepada Lai Lee Koon, 44, dan Tong Kai En, 9, yang meninggal dunia dalam kejadian itu turut berterima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus lumus dalam operasi itu.

Tong berkata, dia masih bersedih dengan kejadian itu, namun mengakui perlu kuat dan tabah mengharungi kehidupan kerana hidup tetap perlu diteruskan biarpun dua insan kesayangan sudah tiada menemaninya.

Menurutnya, isteri yang juga guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong ke tapak perkhemahan itu bersama anak mereka dan beberapa rakan dari sekolah sama pada 13 Februari lalu dan dijangka pulang ke rumah pada hari kejadian.

"Sebelum ini kami bertiga dan kini saya perlu membiasakan diri berseorangan tanpa mereka. Walaupun sukar saya kena kuatkan semangat meneruskan kehidupan, malah kejadian sudah berlaku dan ia tidak dijangka.

"Keletah anak yang bijak dan pandai menyanyi masih terbayang-bayang di mata. Ketika mereka mahu bertolak ke tapak itu anak sempat memeluk saya dan beritahu jaga diri baik-baik kerana dia mahu ikut isteri," katanya yang tidak menyertai perkhemahan itu.

ARMIZAN beramah mesra bersama Tong Chee Kong yang kehilangan isteri dan anak dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm. FOTO Azhar Ramli
ARMIZAN beramah mesra bersama Tong Chee Kong yang kehilangan isteri dan anak dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm. FOTO Azhar Ramli

Dalam pada itu, Armizan berkata, setakat ini kerajaan sudah menyalurkan sumbangan wang ihsan RM10,000 kepada empat waris keluarga membabitkan 11 mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah itu.

Menurutnya, dua keluarga membabitkan lapan mangsa dari Melaka sudah diberikan sumbangan itu dan hari ini beliau sendiri hadir menyerahkan wang ihsan itu kepada dua waris mangsa lain.

"Wang ihsan untuk 20 lagi waris mangsa akan diberikan (dijangka) dalam minggu ini. Difahamkan masih ada keluarga yang berkabung dan belum bersedia menerima tetamu luar dan apabila mereka sudah bersedia kita akan menghantar wakil.

"Sekiranya ada keluarga yang memerlukan bantuan lain seperti sokongan dan kaunseling kita boleh salurkan kepada kebajikan (Jabatan Kebajikan Masyarakat), manakala untuk mangsa yang selamat diberikan bantuan wang ihsan RM1,000," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tragedi itu membabitkan 92 mangsa dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 5:19 PM