Sudirman Mohd Tahir


Hulu Selangor: Operasi dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm di Batang Kali, ditamatkan secara rasmi, 12 tengah hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, perkara itu dimuktamadkan selepas kesemua mangsa yang meninggal dunia seramai 31 orang ditemui.

"Pihak polis sudah memuktamadkan 92 mangsa terbabit berdasarkan keterengan pengusaha Father's Organic Farm dan laporan polis diterima daripada waris mangsa. Daripada jumlah itu, 61 terselamat dan 31 lagi dikenal pasti terkorban.

"Semalam pada 4.30 petang, petugas berjaya menemui mangsa terakhir iaitu kanak-kanak lelaki.

"Jadi, selepas kesemua mayat ditemui, kami bersetuju dan bermuafakat untuk menutup operasi SAR pada jam 12 tengah hari, hari ini.

"Manakala urusan teknikal akan diteruskan oleh agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR); Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM); Jabatan Mineral dan Geologi Sains; Majlis Daerah Hulu Selangor," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR di sini dijadikan rujukan dan contoh kepada kejadian bencana lain pada masa akan datang.

Operasi SAR di lokasi tragedi diaktifkan sejak 16 Disember lalu selepas pihak Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan kira-kira 2 pagi.

Terdahulu Harian Metro melaporkan mayat kanak-kanak lelaki ditemukan pasukan SAR di lokasi pencarian, semalam.

Ini menjadikan seramai 31 orang disahkan terkorban manakala 61 mangsa berjaya diselamatkan dalam tragedi membabitkan 92 orang.

Penemuan aliran cecair di tebing disyaki cecair mayat oleh pegawai penguasa kanan bomba yang menjalankan kerja operasi SAR di sektor A berjaya menemui mangsa terakhir tragedi itu.

Acryl Sani Abdullah Sani, bergambar bersama petugas petugas pasukan menyelamat ketika melakukan lawatan hari terakhir operasi kawasan kejadian kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Acryl Sani Abdullah Sani, bergambar bersama petugas petugas pasukan menyelamat ketika melakukan lawatan hari terakhir operasi kawasan kejadian kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 11:47 AM