PETUGAS kesihatan membawa masuk mayat tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Fathers Organic Farm, Batang Kali di Hospital Sungai Buloh. FOTO Genes Gulitah
PETUGAS kesihatan membawa masuk mayat tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Fathers Organic Farm, Batang Kali di Hospital Sungai Buloh. FOTO Genes Gulitah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Sungai Buloh: Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini sudah menerima seramai 11 mayat mangsa kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, dekat sini, setakat jam 4.20 petang.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, lima lagi mayat mangsa kejadian sedang dibawa ke hospital dari lokasi kejadian.

"Identiti semua mayat belum dikenal pasti. Pasukan perubatan Forensik menyediakan sebanyak lima pasukan petugas terdiri dari pegawai perubatan perawatan kesihatan.

"Turut dibantu oleh petugas Jabatan Forensik Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam untuk menjalankan bedah siasat," katanya.

TRAK polis membawa mayat tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father’s Organic Farm, Batang Kali di Hospital Sungai Buloh. FOTO Genes Gulitah
TRAK polis membawa mayat tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father’s Organic Farm, Batang Kali di Hospital Sungai Buloh. FOTO Genes Gulitah

Menurutnya, pasukan perubatan forensik kini sedang mengumpul maklumat antemortem (berkaitan dengan sesuatu yang berlaku atau dilakukan sebelum mati) daripada waris yang sedang berada di perkarangan Jabatan Forensik.

"Dengan adanya antemortem daripada waris akan dapat mempercepatkan proses pengecaman, seterusnya penyerahan mayat kepada waris boleh dilakukan selepas selesai bedah siasat," katanya.

Sementara itu, perkarangan Jabatan Forensik HSB dipenuhi keluarga mangsa yang kini sedang memberikan maklumat antemortem kepada pihak hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 5:28 PM