TURUT diadakan di Pulau Pinang.
TURUT diadakan di Pulau Pinang.
LOKASI menarik di Putrajaya.
LOKASI menarik di Putrajaya.
Lizam Ridzuan


ACARA tahunan #WeRideAsOne untuk pemilik motosikal Ducati diadakan di seluruh dunia baru-baru ini sebagai aktiviti pemanas badan menuju acara Minggu Ducati Dunia yang bakal diadakan pada 26 hingga 28 Julai hadapan di Litar Dunia Misano "Marco Simoncelli", Itali.

Diadakan pada Sabtu pertama Mei, ia meliputi lebih 347 Kelab Rasmi Ducati daripada pengedar sah motosikal itu dari setiap 50 negara terbabit dengan menganjurkan acara tunggangan bersama yang dianggarkan sekitar 18,000 Ducatisti.

Antara lokasi yang diadakan di bandar utama seluruh dunia antaranya Paris, New York, Cologne, New Delhi, Brussels, Ningbo dan Berlin.

Menurut Naib Presiden Jualan dan Pasca Jualan Ducati, Francesco Milicia berkata #WeRideAsOne sebagai salah satu acara mewakili Ducati dan misinya untuk mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk semua peminat jenama ini.

"Pada aktiviti seperti ini terdapat suasana luar biasa yang menambah nilai pemilikan untuk motosikal ini dalam satu keluarga besar terdiri daripada semua Ducatisti, Kelab Rasmi Ducati, pengedar dan kakitangan syarikat," katanya.

Tidak terkecuali di negara ini, Ducati Malaysia turut menganjurkan aktiviti #WeRideAsOne di beberapa lokasi yang disertai pemilik motosikal itu sebagai memeriahkan acara tahunan ini.

Di Lembah Klang ia diadakan di Ducati Sungai Buloh dengan lebih 350 pemilik daripada pelbagai model berkumpul di sana sebelum memulakan tunggangan menuju ke Putrajaya.

LEBIH 300 pemilik Ducati di Lembah Klang sertai acara.
LEBIH 300 pemilik Ducati di Lembah Klang sertai acara.

Jarak perjalanan lebih 60 kilometer (km) meskipun untuk tahap penunggang rutin tidaklah begitu jauh, namun ia sudah cukup memeriahkan program ini.

Sebelum memulakan tunggangan 'Official' Kelab Ducati Malaysia memberikan penerangan tentang laluan serta aktiviti yang diadakan selain menasihati penunggang sentiasa menjaga keselamatan selain tingkah laku di atas jalan raya.

Konvoi berlepas jam 10 pagi memasuki Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) menuju ke Lebuhraya Elite memasuki Tol Putrajaya dan berhenti untuk berkumpul sebelum meneruskan perjalanan.

Di Putrajaya konvoi melalui lokasi menarik sebelum semua menuju ke Kelab Tasik Putrajaya untuk berkumpul, bergambar dan makan tengah hari sebelum semuanya bersurai.

PENGURUSAN Ducati Asia Pasifik dan Malaysia.
PENGURUSAN Ducati Asia Pasifik dan Malaysia.

Turut menyertai acara tunggangan ini ialah Pengarah Pemasaran Ducati Asia Pacific, Siddharta Varma; Ketua Pengurusan Perhubungan Pelanggan (CRM) dan Kelab Rasmi Ducati Motor Holding, Stefania Indirli; Ketua Pengedar CRM dan Kelab Rasmi Ducati Motor Holding, Luca Gallerani; Ketua Pengarah Ekskutif, Kumpulan Automotif Naza, Rizal Jailani dan Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael.

Selain Lembah Klang, #WeRideAsOne juga diadakan di kawasan utara tanah air yang melakukan aktiviti tunggangan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

Ducati Pulau Pinang di Georgetown menjadi lokasi permulaan dan konvoi menuju ke Baling, Kedah untuk makan tengah hari di Rimba Cafe sebagai penamat untuk #WeRideAsOne kawasan utara tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 6:30 AM