paparan langsung dari udara lokasi tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting -  Batang Kali. FOTO NSTP
paparan langsung dari udara lokasi tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting - Batang Kali. FOTO NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highland yang berlakunya kejadian tanah runtuh pada minggu lalu itu tidak tersenarai dalam cerun kritikal di bawah pemantauan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Ketua Pengarah JMG Hisamudin Termidi berkata, malah pihak Father's Organic Farm juga tidak pernah menerima sebarang surat atau maklumat mengenai senarai cerun kritikal berkenaan sebelum ini.

"JMG menafikan beberapa laporan berita yang melaporkan bahawa cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah disenaraikan antara lokasi kritikal yang dikenal pasti serta JMG menyenaraikan Batang Kali sebagai lokasi kritikal, ia adalah tidak benar.

"Ingin ditegaskan bahawa skop pemantauan cerun kritikal JMG tertumpu di kawasan penempatan dan cerun semulajadi serta ia tidak bertindih fungsi dengan pihak autoriti lain.

"Merujuk cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah itu, ia tidak tersenarai dalam cerun kritikal di bawah pemantauan JMG," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian 2.42 pagi pada 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terbabit dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan dengan 31 disahkan maut manakala 61 lagi terselamat.

Sementara itu, bagi penempatan baharu atau sebarang cadangan pembangunan baharu di kawasan lereng bukit atau berhampiran dengan cerun, Hisamudin berkata, ia adalah sebahagian komponen dalam kebenaran merancang yang memerlukan penilaian risiko dibuat.

"Bagi risiko yang membabitkan bencana geologi tanah runtuh, pihak pemaju perlu melantik ahli geologi profesional yang berdaftar di bawah Lembaga Ahli Geologi Malaysia membuat penilaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 1:20 PM