GT prestasi mesra alam.
GT prestasi mesra alam.
Lizam Ridzuan

MEMANDU uji kenderaan elektrik (EV) sememangnya mempunyai cabaran tersendiri kerana faktor lokasi pusat pengecasan bateri dan jarak capaian yang sentiasa dirisaukan.

Tidak terkecuali buat penulis yang memberanikan diri memandu uji Audi e-tron GT iaitu salah satu barisan EV jenama Audi terdapat di negara ini.

Model e-tron GT dilancarkan di negara ini pada awal 2024 dengan ciri rekaan yang sporty dan sentiasa akan menarik mata untuk memandang.

Untuk Malaysia ia ditawarkan menerusi tiga varian iaitu quattro, quattrro dengan Dynamic Package (seperti unit pandu uji ini) dan RS sebagai varian tertinggi.

Yang membezakan ketiga-tiga ini selain kemasan ialah kapasiti bateri dan kuasa serta jarak capaian kilometer (km).

TAMPIL gaya sporty.
TAMPIL gaya sporty.

Untuk rekaan sememangnya penulis berpendapat model ini antara kenderaan EV yang paling menarik dan sempurna selain menawarkan gaya sporty.

Ini terutama pada bahagian hadapan dengan lampu utama LED Matriks, bumbung gentian karbon dan rekaan gril berserta dengan ciri erodinamik termasuk liang udara pada sisi yang mengalir pada ruang arca roda hadapan.

Bahagaian belakang meneruskan kesinambungan dengan rekaan lampu melintang unik serta diffuser menyerlahkan gaya agresif keseluruhan rekaan.

Pada bahagian sisi ia nampak rendah dan panjang dengan ketinggian kenderaan 1,414 milimeter (mm); 4,989mm panjang dan 1,964mm lebar serta padanan rim aloi 20 inci menyerlahkan elemen GT.

Ruang kabin dengan warna gelap material kulit Nappa dan Dinamica® microfiber menambah ciri elegan selain papan pemuka rekaan sentuhan futuristik termasuk roda stereng flat-bottom rekaan yang penulis gemari.

Tempat duduk hadapan kulit dengan corak sporty dengan larasan elektrik memudahkan penumpang menyesuaikan dengan kedudukan.

Penumpang belakang juga dengan padanan gaya yang sama serta bumbung sedikit rendah gaya fastback membuatkan ruang sedikit kompak namun dengan unjuran kaki yang baik.

KABIN rekaan premium.
KABIN rekaan premium.

Ruang but 350 liter agak luas buat kenderaan sebegini selain terdapat ruang pada bahagian bonet untuk menyimpan kabel pengecas dan barangan lain.

Sekiranya mahukan ruang yang lebih kerusi belakang boleh dijatuhkan.

Model e-tron GT dikuasakan dengan pacuan semua roda (AWD) dwi motor elektrik dengan bateri lithium-ion 93.4 kWh dan ia menjana 476PS kuasa kuda (hp) dan tork 630Nm serta memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 4.5 saat dan serta dengan satu pengecasan penuh bateri ia mampu bergerak sehingga 458 km (WLTP).

Memandu kenderaan EV yang mewah sebegini terasa seakan-akan memandu kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan tenaga yang dialirkan tidak terasa beza dengan transmisi 2 kelajuan automatik.

Cuma ia lebih senyap dan responsif malah pada kelajuan tinggi kuasanya tidak pernah putus cuma penulis tidak terlalu mengikut keasyikan perasaan kerana perlu mengawal kelajuan supaya jarak perbatuan masih panjang.

Pengendalian juga sangat dinamik dan stabil malah pada kelajuan tinggi dan jalan lurus di lebuh raya ia sangat tepat membelah laluan serta memberikan kepuasan dengan empat mod pemanduan ditawarkan iaitu effieciency, comfort, dynamic dan individual yang juga akan melaras sistem suspensi double-wishbone hadapan dan multi-link belakang.

Secara keseluruhan sebagai model EV prestasi e-tron GT ia dilengkapi pelbagai ciri termaju dan mewah dengan gaya moden.

Ciri keselamatan dengan 8 beg keselamatan SRS, Audi pre sense hadapan dan belakang, kawalan pelayaran adaptif dengan tahap kelajuan, bantuan efisien, bantuan 'swerve' dan bantuan membelok, amaran keluar laluan serta bantuan trafik melintas hadapan dan belakang.

Penulis sempat mencuba untuk mengecas kenderaan ini menggunakan aplikasi ChargEV dengan pengecas aliran terus (DC) dan ulang-alik (AC) dan ia mudah untuk dilakukan.

Untuk DC ia hanya mengambil sekitar 15 minit untuk isian 35 kWh dengan (dari 100 km ke 300km) kos sekitar RM55 dan kemudian AC dengan 10.87 kWh (anggaran dari 50 km ke 120km) pada kos sekitar RM10.87.

Sistem bunyi premium Bang & Olufsen serta sistem infotainmen 10.1 inci skrin sesentuh dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto dan meter pemandu 12. inci dengan larasan antara muka dan head-up display tersedia.

Untuk pasaran Malaysia ia dijual pada harga RM677,790 atas jalan tanpa insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 6:30 AM