USAHA perkemas diri dan keluarga dengan ilmu dan amal yang teguh demi keselamatan dunia serta akhirat.
USAHA perkemas diri dan keluarga dengan ilmu dan amal yang teguh demi keselamatan dunia serta akhirat.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Dalam dunia siber tanpa sempadan hari ini, manfaatnya bukan sahaja digunakan oleh umat Islam untuk menyampaikan dakwah, malah turut dipergunakan oleh kumpulan ajaran sesat untuk menyebarkan dakyah mereka. Kebelakangan ini muncul sebuah kumpulan ajaran sesat yang cukup berani tampil melalui siaran langsung di media sosial menyampaikan fahaman songsang mereka.

Kumpulan ini nampaknya lebih agresif berbanding kumpulan ajaran sesat lain yang kebanyakannya menyebarkan dakyah mereka secara sembunyi-sembunyi. Malah, adakalanya sukar mendapatkan bukti kesesatan mereka kerana modus operandi yang bersifat rahsia dan tertutup rapat. Namun, kumpulan ajaran sesat baru ini tidak begitu. Bahkan, mereka cukup terbuka untuk berdialog dan berhujah dengan para pemanggil lewat siaran langsung di media sosial.

Asas fahaman sesat mereka ini adalah berdasarkan konsep ke'mahdi'an, iaitu mereka mendakwa pemimpin mereka adalah Imam al-Mahdi yang dijanjikan dan ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Peliknya, Imam al-Mahdi mereka ini didakwa sebagai utusan Allah SWT dan diizinkan untuk meminda hukum hakam dalam Islam serta membawa syariat yang baru.

Perkara ini dinyatakan secara terang-terangan oleh mereka tanpa segan silu lagi. Ini amat jauh bezanya dengan karakter Imam al-Mahdi pegangan Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) yang diyakini sekadar melaksanakan tajdid iaitu mengembalikan semula ajaran Islam yang murni dan tidak membawa sebarang syariat baru.

Antara dakwaan sesat mereka ialah kaifiat solat fardhu lima waktu yang diamalkan umat Islam kini sudah dibatalkan dan ditukar kepada kaedah baharu, kiblat bagi umat Islam yang sebenar bukan Kaabah di Mekah tetapi di Petra, Jordan, arak halal diminum kecuali jika ia memabukkan, selepas kewafatan Nabi SAW majoriti para sahabat RA sudah melanggar perintah baginda, semua ulama ASWJ menyelewengkan ajaran Islam sebenar dan sebagainya. Ajaran mereka ini jelas melanggar perkara yang sudah maklum dalam agama Islam secara darurat (al-ma'lum min ad-din bi ad-dharurah) yang boleh menyebabkan kekufuran jelas.

Pembawa syariat palsu seumpama ini sebenarnya sudah diperingatkan oleh baginda Nabi SAW sebagai satu daripada petanda hari kiamat. Ianya bukan fenomena baharu, tetapi sudah berulang kali muncul di sepanjang lembaran sejarah umat Islam. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya: "Kiamat tidak akan berlaku sehingga dibangkitkan para dajjal pendusta yang berjumlah hampir tiga puluh orang, kesemua mereka mendakwa bahawa dirinya adalah utusan Allah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat lain daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Akan ada di akhir zaman para dajjal pendusta yang akan membawa kepada kamu sekalian hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan datuk moyang kamu dengari. Maka, berwaspadalah kamu sekalian terhadap mereka agar mereka tidak dapat menyesatkan dan mengelirukan kamu". (Riwayat Muslim)

Manakala dalam hadis riwayat Huzaifah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat dalam kalangan umatku para pendusta dan dajjal berjumlah dua puluh tujuh orang, termasuk daripada mereka empat orang wanita. Padahal aku adalah penutup para nabi, tidak ada lagi nabi sesudahku." (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan at-Tabarani dengan sanad sahih)

Para pembawa syariat palsu yang dikhabarkan ini sudah muncul satu demi satu sehingga jumlahnya nanti dua puluh tujuh atau hampir tiga puluh orang sepertimana pernyataan hadis di atas. Antara mereka di zaman klasik Islam ialah Musailamah al-Kazzab (dibunuh 12H) di al-Yamamah, al-Aswad al-'Ansi (mati 10H) di Yaman, Sajah binti al-Harith at-Tamimiyyah (mati 55H) di al-Jazirah, al-Mukhtar at-Thaqafi (dibunuh 67H) di Kufah, al-Harith bin Sa'id (dibunuh 69H) di Dimasyq, Ishaq al-Akhras di Maghribi, Tulaihah al-Asadi di Najd dan Laqit bin Malik al-Asadi di Oman.

Manakala di zaman moden pula muncul Mirza Ghulam Ahmad al-Qadiyani (mati 1908) di India, Rasyad Khalifah (dibunuh 1990) di Amerika, Dr Solah Syu'aisya' (mati selepas 1990) di Mesir dan lain-lain. Semua mereka biasanya cuba pengaruhi, mengelirukan orang ramai dengan bakat istimewa seperti kebijaksanaan akal, petah bicara, karisma menarik, malah penggunaan kuasa ghaib atau kemampuan yang luar biasa.

Justeru, berwaspadalah dengan kumpulan sesat sebegini. Munculnya apa yang dikhabarkan oleh baginda Nabi SAW secara nyata di hadapan kita satu persatu hari ini sewajarnya menjadikan kita lebih insaf dan berusaha memperkemaskan diri serta keluarga dengan ilmu dan amal yang teguh demi keselamatan baik di dunia mahupun di akhirat.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 6:00 AM