Asrol Awang


Kuantan: Pasukan penyelamat dan sukarelawan dari Pahang dihantar segera ke kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pasukan itu dihantar ke kawasan tragedi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

"Saya menerima perkhabaran berita yang mengejutkan mengenai tragedi tanah runtuh yang telah berlaku di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father's Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor awal pagi tadi.

"Susulan kejadian itu, saya telah mengarahkan pasukan penyelamat dan sukarelawan dari Pahang untuk segera ke kawasan tragedi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk mengadakan sebarang aktiviti perkhemahan sama ada di kawasan tanah tinggi atau berhampiran sungai.

Katanya, ia bagi mengelakkan kejadian buruk daripada berlaku terutama ketika musim tengkujuh.

"Saya berdoa semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang bentuk musibah dan malapetaka," katanya.

Setakat jam 10.16 pagi ini, sembilan maut, manakala 60 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 11:04 AM