Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan menyaksikan pertunjukan fashion ketika pameran seni CIMB Artober 2023 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan menyaksikan pertunjukan fashion ketika pameran seni CIMB Artober 2023 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Sudirman Mohd Tahir dan Nor Hashimah Nor Hasim

Kuala Lumpur: Penganjuran CIMB Artober 2023 yang menghimpunkan pelukis dan pereka fesyen terkenal bakal berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, bermula esok sehingga Ahad ini.

Pengerusi CIMB Group Holdings Berhad Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, pihaknya berbesar hati untuk terus memberikan sumbangan besar kepada festival seni buat edisi kali keempat.

"Kami melihat kepentingan dalam peranan kami untuk menjadi peneraju dalam menyokong ekosistem seni dan budaya, menggiatkan ekonomi kreatif di Malaysia sejajar dengan tujuan kami untuk memajukan pelanggan dan masyarakat.

"Inisiatif ini berkembang daripada kekuatan kepada kekuatan, mewujudkan pasaran yang bertenaga dan menjadikannya acara seni yang sentiasa ditunggu-tunggu di Malaysia.

"Kami berharap untuk meneruskan usaha dalam memupuk kebanggaan negara dalam seni dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama untuk seni," katanya.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan hadir pada majlis pelancaran, di sini, hari ini.

Menurutnya, CIMB Artober 2023 menampilkan kreativiti artistik dari seluruh negara dan rantau ini sebagai sebahagian daripada objektif penganjuran.

"Festival ini membawa pereka terbaik dalam kelas masing-masing serta bakat yang semakin meningkat naik dalam persada seni tempatan kepada umum.

"Tambahan pula, inisiatif ini juga bertujuan untuk mempromosi dan memartabatkan seni dan budaya negara kepada lebih ramai sektor korporat dan rakyat Malaysia," katanya.

CIMB Artober 2023 menampilkan dua eleman penting iaitu CIMB Artober Art & Soul dan Minggu Fesyen CIMB Artober.

Sebanyak 18 galeri seni komersial dan tiga penganjur kraf ternama ditampilkan sepanjang festival berkenaan.

Sorotan utama CIMB Artober Art & Soul adalah Pavilion Pahang yang mempamerkan koleksi peribadi kain tenun diraja Pahang milik Raja Permaisuri Agong.

Manakala, Minggu Fesyen Artober CIMB menampilkan dua pereka fesyen jemputan dari Indonesia iaitu House of Hasto dan Athan Siaahan bersama pereka terkemuka tempatan lain seperti Anuar Faizal, CARRO, Ezuwan Ismail, Datuk Radzuan Radziwill dan Pink Jambu.

Pameran ini terbuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 4:17 PM