MAS Ermieyati (dua dari kanan) melihat pengasas kasut Babebundo menjahit kasut.
MAS Ermieyati (dua dari kanan) melihat pengasas kasut Babebundo menjahit kasut.
Suliati Asri


Bertemakan ‘Dunia Kasut Yang Berwarna-warni’, Festival Kasut Antarabangsa (MISF) 2016 edisi ketujuh berlainan daripada kebiasaannya.

Dianjurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Persatuan Pengilang Kasut Malaysia (MFMA), festival ini tanda sokongan kepada pereka, pengilang dan peruncit kasut tempatan.

MISF 2016 juga sebahagian usaha menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mewah dan syurga membeli-belah.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sejak mula dianjurkan pada 2010, festival itu sudah memperoleh reputasi sendiri sebagai pusat berprestij dalam memberi pendedahan kepada pereka dan pengeluar kasut Malaysia.

Katanya, MISF 2016 menjadi acara kasut utama di rantau ini dan dijangka 30,000 pengunjung seluruh dunia mengunjunginya.

“Saya difahamkan, festival ini sangat dinanti-nantikan pembeli yang menetapkan tumpuan mereka pada tawaran hebat kasut trend terkini dan fesyen kasut buatan Malaysia.

“Aktiviti pengisian yang dirancang sepanjang tiga hari ini cukup menggembirakan saya kerana selain pameran dan jualan kasut fesyen terbaru, ada banyak pertandingan dianjurkan untuk belia,” katanya.

Festival kali ini juga menyaksikan acara menarik seperti Koleksi Kasut Sukan Antarabangsa, Pertunjukan Fesyen Kasut, Galeri Pereka Fesyen, Galeri Kasut Vintaj dan kemunculan Profesor Datuk Dr Jimmy Choo.

Pereka fesyen tersohor Malaysia Bon Zainal dan pereka muda tempatan yang sedang menempa nama Christy Ng terbabit dalam forum fesyen dengan berkongsi rahsia jenama mereka dan menggalakkan pelajar seni mengejar impian memiliki perniagaan bidang fesyen.

Ramai peminat fanatik kasut yang menonton juga mengambil bahagian secara aktif dalam sesi soal jawab forum.

MIFS 2016 membariskan jenama antarabangsa dan tempatan seperti Fiorucci, Nike, Larrie, Lanbaharin, Snowfly, Brooks dan banyak lagi.

Festival ini juga menjadi hab berprestij untuk pembeli dagangan dan pelawat dari lebih 10 negara termasuk India, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Indonesia, Thailand, Taiwan, Afrika Selatan, United Kingdom, New Zealand, Pakistan dan Ghana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 11:08 AM