Antara kenderaan kustom yang bakal dipamerkan.
Antara kenderaan kustom yang bakal dipamerkan.
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Selepas dua tahun tidak dianjurkan, acara gaya hidup motosikal dan kenderaan binaan khas (kustom), Art Of Speed 2022 (AOS 2022) bakal diadakan pada hujung minggu ini iaitu 2 hingga 3 Julai 2022.

Acara yang disokong oleh Tourism Malaysia di Bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Pelan Pemulihan Pelancongan 2022, bakal diadakan kembali di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Pengarah Festival Art of Speed Malaysia (AOSM), Asep Ahmad Iskandar berkata, sejak mula dianjurkan pada 2012 acara ini berjaya menghimpunkan peminat motosikal dan kereta terutama seni kustom.

"Ia juga menjadi lokasi berkumpulnya pengamal seni, pemuzik, pengumpul barangan vintaj serta hobi untuk turut serta dalam acara berskala besar ini," katanya.

AOS yang diadakan pada 2019.
AOS yang diadakan pada 2019.

Antara aktiviti yang terdapat dalam acara penganjuran dan ulangtahun ke-10 ini ialah Art of Speed Invitational Bike Build Off 2022, Jelajah Hot Wheels Legends, pameran kenderaan "Garage Life", pameran kereta vintaj dan gaya hidup aktiviti perkhemahan.

AOSM 2022 juga dimeriahkan dengan aktiviti Roda Rumble 2022, La Cultura, trak makanan, pasar lambak vintaj, himpunan pemilik kereta Alfa Romeo, Hot Wheels Club Malaysia, fesyen Streetware Con, Mini Crawlers RC dan sesi tunggang uji motosikal terbaharu.

Selain permotoran, AOS 2022 juga diserikan dengan Festival Sound Circus 2022 menampilkan barisan band tempatan antaranya Hujan, Flopp Poppy, Sekumpulan Orang Gila, Iqbal M, Budak Nakal Hujung Simpang, dan The Times.

Paling menarik ialah hadiah cabutan bertuah pada tahun ini yang menawarkan dua skuter Vespa klasik elektrik (EV) untuk dua pemenang setiap satu.

Kerja-kerja restorasi Vespa klasik ini dilakukan Kluk Klek Soul dan pengubahsuaian kepada EV oleh Elders Elettrico dan sebuah lagi Vespa Klasik EV dilakukan ubahsuai khas oleh Hausboom.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 3:18 PM