GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Seramai 12 lagi lelaki ditahan berhubung insiden pergaduhan antara kumpulan penarik kereta atau longkai di Kampung Malaysia Tambahan, Cheras, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, semua suspek ditahan sekitar ibu negara semalam dan akan direman tiga hari bermula hari ini.

"12 orang lagi suspek berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun yang disyaki terbabit dengan insiden pergaduhan berkaitan urusan menunda kenderaan kemalangan di Kampung Malaysia Tambahan.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana orang yang tidak mematuhi undang-undang negara dan tindakan tegas akan diambil demi menjaga keharmonian serta ketenteraman masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, 10 lelaki direman bagi membantu siasatan kes pergaduhan berkenaan.

Tangkapan terbaru berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan berhubung insiden itu seramai 22 suspek setakat hari ini.

Siasatan berhubung pergaduhan yang berlaku Isnin lalu lebih kurang jam 1.37 pagi itu dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 2:11 PM