Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersama anak anak dalam sesi bercerita selepas melancarkan buku “Yasmin dan Adam” sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersama anak anak dalam sesi bercerita selepas melancarkan buku “Yasmin dan Adam” sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang memperlihatkan kehadiran lebih 70 peratus golongan muda menunjukkan mereka masih mempunyai minat membaca.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia adalah petanda sangat baik dari segi tamadun dan sokongan ekosistem ini juga akan diperkukuhkan pihaknya dari semasa ke semasa.

"Sokongan ekosistem ini akan kita perkukuhkan dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka terus menjadi bangsa yang membaca dan bahan bacaan itu juga mesti kita beri tumpuan supaya ada peningkatan dalam budaya ilmu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku 'Yasmin dan Adam' serta Sesi Ceritalah Lagi Bersama Menteri Pendidikan di Pentas Utama PBAKL, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Buku 'Yasmin dan Adam' diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hasil idea asal Fadhlina, manakala cerita dan ilustrasinya oleh Nurshuhada Abdullah yang memberi tumpuan kepada murid keperluan khas atau autisme.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, dari segi jumlah pengunjung selepas dua hari penganjuran PBAKL 2024, ia menunjukkan satu fonomena sangat baik.

"Menakjubkan. Saya dimaklumkan bahawa hari pertama sahaja (jumlah pengunjung) telah mencapai 140,000 orang dan hari kedua semalam pula 200,000.

"Ini menunjukkan ciri-ciri bangsa berjaya adalah bangsa membaca dan kita harap kemeriahan ini akan berterusan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai buku 'Yasmin dan Adam', Fadhlina mengakui ideal asalnya daripadanya pada tahun lalu ketika menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurutnya, pada waktu itu, pihaknya mahu memberikan tumpuan khas kepada agenda kanak-kanak atau murid keperluan khas.

"Ketika itu, kita nak pastikan mereka mendapat sokongan penuh dalam bidang pendidikan dan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, maka idea ini tercetus.

"Saya berterima kasih kepada Nurshuhada untuk menterjemahkan ia sebagai sebahagian daripada buku agar kita dapat pertingkatkan kesedaran dan advokasi bahawa mereka mendapat tempat khususnya dalam pendidikan serta diberi tumpuan dalam masyarakat," katanya,

Selain itu katanya, buku ini juga diharapkan dapat memperkukuhkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak di peringkat pra sekolah.

"Buku ini sangat sesuai dibaca oleh anak-anak di peringkat pra sekolah.

"Ia juga adalah penghargaan kepada murid-murid keperluan khas yang sebenarnya sangat dekat di hati saya, dan buku ini mendapat tumpuan bahagian keperluan khas di peringkat KPM sendiri.

"Ia telah disemak, dipastikan kandungan, bahasa dan juga aktivitinya agar ia sesuai dengan murid keperluan khas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 1:35 PM