Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Kementerian Kewangan selesai mengadakan sesi libat urus bagi mengumpul maklum balas daripada pelbagai agensi dan komuniti sebelum menyediakan Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Oktober depan.

Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong berkata, Belanjawan 2024 sudah memasuki fasa terakhir apabila semua maklum balas yang diterima berada di peringkat penilaian.

Katanya, sesi libat urus yang diadakan di seluruh negara mendapat sambutan amat menggalakkan apabila pihaknya dapat bersemuka dengan hampir 8,000 individu sama ada di peringkat negeri, sektor dan kementerian.

"Melalui portal Kementerian Kewangan juga, kita mendapat hampir 10,000 maklum balas daripada orang ramai (yang memberi pandangan berhubung Belanjawan 2024).

"Semua (dapatan daripada maklum balas yang diterima) ini kita akan rumus dan pertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024. Kiranya, sekarang ini kita di peringkat penilaian dan masuk fasa terakhir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengemaskini laporan berhubung sesi libat urus Belanjawan 2024.

Terdahulu, Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam ditemui ketika meninjau program Jualan Rahmah Kasih Sayang di pekarangan pusat khidmatnya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan jemaah menteri untuk mengadakan sesi libat urus Belanjawan 2024 selama sebulan bermula pertengahan Ogos sehingga September lalu.

Belanjawan 2024 akan memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat, bantuan-bantuan akan diteruskan serta ditambah baik, begitu juga pembangunan prasarana negara.

Pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen dijadualkan pada 13 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 3:14 PM