GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Proses penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan umrah akan dimuktamadkan kerajaan menjelang pertengahan Februari ini.

Perkara itu dibincangkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi sesi libat urus bersama Persatuan Agensi Pelancongan (Umrah) hari ini.

Motac dan Kementerian Kesihatan dalam kenyataan bersama memaklumkan sesi libat urus berkenaan bagi mendapatkan maklum balas berhubung hala tuju industri umrah susulan daripada keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa.

"Antara perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan umrah pada sesi perbincangan libat urus petang ini adalah SOP berkaitan pelaksanaan perjalanan umrah, isu bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan.

"Turut dibangkitkan adalah berkenaan perlindungan insurans, garis masa pembukaan semula perjalanan umrah dan bantuan pemulihan kepada industri pelancongan," kata kenyataan itu.

Sesi libat urus itu turut dihadiri wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) serta The Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA).

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua menteri menyatakan komitmen untuk memperincikan dan memperhalusi setiap isu serta cadangan yang dikemukakan di peringkat kementerian masing-masing.

Katanya, cadangan penambahbaikan itu akan dibentangkan kepada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 akan datang.

"Khusus bagi garis masa pembukaan semula perjalanan umrah, kedua-dua menteri komited untuk memuktamadkan proses penilaian risiko dan SOP perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari ini.

"Kerajaan amat prihatin dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pemain industri pelancongan negara," katanya.

Kedua-dua kementerian berharap semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 6:50 PM