Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan akan memberikan fokus utama kepada usaha menaik taraf dan meningkatkan lagi kemudahan prasarana awam dalam menyediakan Belanjawan 2024.

Timbalan Menteri Kewangan 11 Steven Sim Chee Keong berkata, ia susulan maklum balas diterima pihaknya daripada pimpinan kerajaan negeri dan masyarakat setempat berkaitan infrastruktur.

Katanya, ia membabitkan jalan raya dan lebuh raya yang lebih baik, kemudahan hospital, sekolah serta kemudahan awam lain selain Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Sememangnya bermula Belanjawan 2023 lagi, kita lihat dalam kerangka ekonomi yang telah diumumkan sama ada dalam kerangka Ekonomi Madani atau yang lainnya termasuk juga Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK-12) semalam, fokus kerajaan adalah memastikan kemudahan asas.

"Dalam isu sekolah, semua sekolah diberikan peruntukan RM70,000 baru-baru ini untuk memperbaiki tandas dan kemudahan asas lain.

"Di kawasan pelancongan pula, kita hendak pastikan kemudahan asas di lokasi berkenaan mencukupi dan sempurna," katanya kepada pemberita selepas Sesi Dailog Jelajah Belanjawan 2024 Peringkat Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Mengenai PKS pula, Steven Sim berkata, kerajaan akan membantu menambah nilai untuk mengembangkan bidang berkenaan selaras dengan status PKS sebagai tunggak dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

"Walaupun tumpuan utama diberikan kepada usaha menarik pelaburan langsung asing sebagai petunjuk prestasi utama namun pada masa sama pelaburan langsung domestik tidak boleh dikesampingkan.

"Oleh itu, bantuan kepada PKS akan diteruskan dan dikembangkan lagi pada tahun hadapan kerana kita lihat PKS sebagai tunggak kepada ekonomi negara," katanya.

Menurutnya, kepentingan antara majikan dan pekerja juga perlu diberikan perhatian.

Katanya, majikan perlu mendapatkan keuntungan untuk membolehkan mereka menyediakan pekerjaan kepada masyarakat selain memastikan bakat dan kemahiran tinggi pekerja dimanfaatkan.

"Persaingan bukan saja antara syarikat Malaysia tetapi juga syarikat dari luar negara dan kita tidak mahu kehilangan atau kekurangan pekerja berkemahiran tinggi," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, Malaysia berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran berada di tangga ke-12 teratas dunia bagi Indeks Daya Saing Global dalam tempoh kurang 10 tahun seperti digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani.

Katanya, perancangan ini meliputi langkah ke arah peningkatan pemacuan ekonomi, menggalakkan pelaburan dan memperkukuh industri tempatan supaya lebih inovatif dan berdaya saing serta mampu dilonjakkan ke pasaran global.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 3:37 PM
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong ketika berucap pada Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Sembilan  di Dewan Majlis Bandaraya Seremban. FOTO AZRUL EDHAM
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong ketika berucap pada Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban. FOTO AZRUL EDHAM