GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad

Johor Bahru: Pengurus jualan syarikat elektronik bukan sahaja berputih mata malah menanggung kerugian RM577,912 selepas terpedaya dengan sindiket menawarkan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Lim Jit Huey berkata, lelaki berusia 58 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas menyedari diperdaya.

Katanya, mangsa mendakwa mengenali seorang wanita dikenali sebagai Amy menerusi aplikasi WeChat pada Januari lalu.

"Suspek menawarkan pelaburan emas kepada mangsa menerusi aplikasi Upbest.

"Kemudian mangsa berminat untuk menyertai pelaburan tersebut kerana dijanjikan akan mendapat pulangan sebanyak 10 peratus dari jumlah modal yang dimasukkan dalam tempoh 60 minit. Keuntungan juga akan diperolehi setiap kali mangsa melakukan transaksi pelaburan.

"Tertarik dan percaya dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa telah mengikut arahan suspek dengan membuat bayaran ke beberapa akuan bank tempatan berjumlah RM577,912.

"Mangsa mendakwa pelaburannya telah menjana keuntungan sebagaimana dipaparkan dalam aplikasi Upbest, namun wang tersebut gagal dikeluarkan atas pelbagai alasan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Jit Huey, mangsa juga sering didesak oleh suspek untuk membuat bayaran tambahan pelaburan lagi sekali gus membuatkan mangsa sedar dia sedang diperdaya dan membuat laporan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 11:21 AM