Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Kerani wanita 'berputih mata' apabila menanggung kerugian sebanyak RM127,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menawarkan pelaburan rendah tapi untung besar.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan semalam daripada wanita warga tempatan berusia 47 tahun mendakwa ditipu oleh skim pelaburan atas talian yang menawarkan keuntungan segera dan berlipat ganda.

Beliau berkata, mangsa melakukan empat transaksi pembayaran atas talian ke tiga akaun bank berbeza sebanyak RM127,000.

Menurutnya, ia sebagai modal pelaburan dan pembayaran cukai keuntungan bagi mengeluarkan semula modal pelaburan.

Katanya, mangsa pada awalnya melabur sejumlah wang dan mendapat pulangan melebihi 100 peratus daripada wang pelaburan.

"Ia menyebabkan mangsa menggandakan jumlah pelaburan namun tiada sebarang pulangan.

"Sebaliknya suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan membuatkan mangsa tersedar dia ditipu," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

"Siasatan juga meliputi pembabitan keldai akaun dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit.

"Polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan yang mudah, cepat dan tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 3:31 PM