Nazdy Harun


Kuala Berang: Walaupun hanya diberi harapan mampu hidup untuk tempoh tiga hari selepas dilahirkan, perancangan Allah SWT amat hebat apabila bayi perempuan ini masih bernafas sehingga kini.

Sunira Musaraini Mustaffa, 42, dari Kampung Bukit Kolam, di sini, berkata anak bongsunya Qaseh Nurhawa Zaifulnizam, 16 bulan, yang dilahirkan dengan pelbagai komplikasi penyakit pada awalnya tidak diberikan harapan untuk hidup.

Menurutnya, sepanjang 13 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (NICU), selepas dilahirkan, Qaseh menunjukkan tanda-tanda positif apabila mampu bertahan.

Katanya, dia yang mengalami komplikasi kesihatan selepas melahirkan Qaseh terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selain menjalani hemodialisis akibat kegagalan buah pinggang ketika itu.

"Anak saya pula didiagnos menghidap pelbagai penyakit dan turut ditempatkan di NICU, dengan harapan untuk hidup amat tipis dan pakar perubatan hanya menjangkakan Qaseh hanya mampu bertahan selama tiga hari.

"Saya pula ketika itu dimasukkan ke wad akibat sawan dan masalah buah pinggang sempat meminta bantuan ayah, Mustaffa Ngah, 78, dan suami Zaifulnizam Ismail, 42, untuk menyiapkan liang lahad bagi proses pengebumian sekiranya berlaku sebarang kemungkinan ke atas Qaseh.

"Namun, ajal maut sudah diatur sempurna oleh Allah SWT, dan dengan doa berterusan akhirnya Qaseh dibenarkan pulang selepas bertarung nyawa selama 13 hari di NICU," katanya yang mempunyai tiga lagi cahaya mata berusia 19, 17 dan 13 tahun.

Menurutnya, dia amat memuji tahap profesional doktor dan kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, yang bertungkus-lumus dalam memberi khidmat kesihatan terbaik bagi memastikan Qaseh dapat pulang ke pangkuan keluarga.

Katanya, HSNZ kini diibaratkan sebagai rumah keduanya kerana Qaseh akan dibawa untuk berjumpa dengan pakar pada setiap minggu.

"Setiap minggu Qaseh perlu menemui pakar kanak-kanak, telinga, mata dan hidung, pakar tulang, otak, plastik, bedah, sakit puan, perut, diet, menjalani sesi fisioterapi dan beberapa pakar perubatan lain di hospital berkenaan.

"Selepas 26 hari dilahirkan, pihak hospital membenarkan Qaseh dibawa pulang dan walaupun mempunyai pelbagai komplikasi penyakit, namun Qaseh mampu bertahan.

"Alhamdulillah, kini usia Qaseh sudah menjangkau setahun empat bulan dan saya akan menjaganya sebaik mungkin anak istimewa ini," katanya.

Katanya, Qaseh bergantung kepada susu khas dan turut mendapat bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan sekali bayar dalam setahun daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Saya juga aktif memuat naik kandungan dan membuat siaran langsung di TikTok untuk anak istimewa ini bagi berkongsi pengalaman suka mahupun duka sepanjang menjaga Qaseh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 1:47 PM
Sunira Musaraini bersama anak bongsunya Qaseh Nurhawa yang berusia setahun empat bulan. FOTO NAZDY HARUN
Sunira Musaraini bersama anak bongsunya Qaseh Nurhawa yang berusia setahun empat bulan. FOTO NAZDY HARUN