Rosnani  memberi susu kepada anak bongsunya, Adamia Fitri yang menghidap penyakit saraf otak dan paru-paru kronik di rumahnya di Kampung Banggol Judah.
Rosnani memberi susu kepada anak bongsunya, Adamia Fitri yang menghidap penyakit saraf otak dan paru-paru kronik di rumahnya di Kampung Banggol Judah.
Siti Nadzirah Che Mud


Machang: Hatinya sebak saat menceritakan setiap dugaan ditempuh anaknya yang menghidap penyakit saraf otak dan paru-paru kronik sejak dilahirkan.

Rosnani Mat Ghani, 42, berkata, sejak dilahirkan anaknya, Adamia Fitri Abdul Rahim, 4, terpaksa melalui pelbagai penderitaan termasuk menghadapi detik cemas apabila dua kali jantung anaknya terhenti seketika.

Ibu lima anak berusia antara empat hingga 20 tahun berkata, Adamia Fitri dilahirkan secara pembedahan akibat lemas dalam kandungan dan ekoran itu, dia mengalami komplikasi paru-paru dan keadaannya sangat kritikal.

“Selepas dilahirkan, anak saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dan berjuang selama 15 hari sebelum keadaannya stabil.

“Sedih melihat keadaannya yang perlu bergantung pada mesin oksigen untuk meneruskan hidup. Hidupnya hanya di hospital dan dirawat hampir setahun di HRPZII, beberapa bulan di Hospital Kuala Krai dan Hospital Machang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Judah, di sini.

Rosnani berkata, dia tidak akan lupa dengan kejadian Februari 2015 apabila jantung anaknya terhenti lebih sejam selepas menjalani pembedahan pada bahagian perut bagi memasang tiub untuk memudahkan susu disalurkan.

“Ketika itu, kami reda sekiranya Allah SWT menjemput anak syurga lebih awal sebelum sempat membesar. Namun, Alhamdulillah dengan kuasa Allah, keajaiban berlaku apabila denyutan nadinya kembali.

“Namun, perkembangannya itu hanya mampu bertahan sebulan sebelum sekali lagi jantungnya berhenti buat kali kedua dan selepas itu doktor mengesahkan dia koma hingga sekarang,” katanya.

Menurutnya, bahagian leher anaknya ditebuk lubang bagi dimasukkan tiub getah untuk memudahkannya bernafas dan membuang kahak.

Katanya, disebabkan masalah kesihatan anak bongsunya, dia dan anak lain lebih banyak berada di hospital berbanding di rumah.

Rosnani turut meluahkan kebimbangan berhubung keperluan Adamia yang sukar ditanggung kerana suami, Mat Rahim Mat Hassan, 52, bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan sekitar RM45 sehari.

“Dia membelanjakan RM1,000 sebulan untuk keperluan anaknya itu dan ia tidak mencukupi walaupun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 1:39 PM