NADIR Al-Nuri
NADIR Al-Nuri
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tiada yang lebih menggembirakan apabila dapat melihat anak dan isteri berada di depan mata selepas enam bulan mereka bertahan dengan bedilan bom di bumi Palestin.

Itu nikmat disyukuri Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman apabila dapat bersatu kembali dengan isteri, Reem Al-Minawi dan anak mereka, pada 1 Syawal lalu.

Sebagai bapa, Muhammad Nadir berkata, kepulangan anak dan isteri kepangkuannya itu menamatkan keresahannya yang selama ini terpaksa berjauhan dengan mereka sejak perang meletus di Gaza, 7 Oktober lalu.

Malah katanya, detik pertemuan itu amat bermakna apabila dia melihat kegembiraan anak-anaknya yang berpeluang mendapat keperluan dan makanan yang tidak boleh dibeli akibat perang di tanah air mereka.

"Nikmat keluarga berada dalam keadaan selamat di sisi adalah nikmat yang saya harapkan untuk semua.

"Bayangkan, saya membawa anak-anak membeli keperluan, mereka bersorak melihat telur dan coklat kerana selama enam bulan, telur dan coklat menjadi idaman," katanya dalam perkongsian di Instagram, malam tadi.

Menurutnya, keadaan anak bongsunya, Ibrahim Al-Khalil, 2, yang sering mengalami komplikasi pernafasan menjadi titik tolak kepada usaha membawa anak dan isterinya ke Malaysia.

"Apabila keluarga mula berpindah dari rumah ke rumah, kira-kira lima hingga enam kali di Bandar G (Gaza) sendiri kemudian ke Khan Younis berjalan kaki seterusnya ke Rafah pula, kami masih bertahan.

"Apabila rumah mentua dan keluarga sebelah ayah Naeem dibom dan dua orang makciknya berserta suami serta semua anak syahid, kami masih bertahan.

"Apabila tempat berlindung 60 ahli keluarga sebelah isteri pula dibom dan beberapa orang syahid sementara yang lain dipotong kaki, cacat tangan dan lain-lain kecederaan makanan terpaksa dicatu, setiap hari diberikan separuh roti hanya untuk memastikan ada tenaga bersisa untuk bangkit esoknya, kami masih bertahan.

"Tetapi apabila anak bongsu saya mula mengalami komplikasi pernafasan, terpaksa dikejarkan beberapa kali ke hospital di tengah malam di bawah bedilan roket dan meriam, kami mula berfikir, mungkin sudah cukup enam bulan kami bertahan.

"Lebih-lebih lagi apabila Rafah diancam untuk dilanggar musuh durjana melalui jalan darat tanpa belas kasihan, kami menyebutkan mungkin Allah aturkan jihad kami bukan dengan adanya nyawa kami yang perlu dikorbankan," katanya.

Justeru katanya, dia meminta pandangan ahli agama di Palestin dan Malaysia sendiri sebelum usaha membawa keluar anak dan isteri digerakkan.

"Saya terus menghubungi beberapa ulama di P (Palestin) dan Malaysia bertanyakan pandangan mereka tentang hukum keluar daripada bumi perjuangan pada saat ini dan jawapan mereka seragam, melegakan.

"Insya Allah tak ada masalah untuk wanita dan kanak-kanak keluar selagi ada niat untuk kembali ke sana apabila keadaan membenarkan.

"Kami beristikharah dan bertawakal, perjuangan tak akan berakhir tetapi akan diteruskan walau tak berada di medan peperangan.

"Keluar G (Gaza) tak bermakna perjuangan terhenti tetapi silat di medan baru akan bermula insya-Allah," katanya.

Muhammad Nadir berkata, dia berterima kasih dengan doa dan bantuan pelbagai pihak, yang membolehkan keluarganya selamat dikeluarkan dari Gaza sebelum diterbangkan ke Malaysia.

"Alhamdulillah 1001 tangan membantu menjayakan. Dengan kuasa Allah dan IzinNya.

"Banyak yang perlu kami ceritakan, hero yang perlu kami dendangkan tetapi buat masa ini biarlah kalian beraya, selepas itu kami akan ceritakan bagaimana ia bermula, siapa di balik tirai misi 'gila'.

"Untuk hari ini, terima kasih kepada semua atas hadiah paling istimewa di hari raya pada tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 9:18 AM