NUR Qaseh Qasrina  yang mengalami masalah saluran darah ke jantung sempit.
NUR Qaseh Qasrina yang mengalami masalah saluran darah ke jantung sempit.
Shahrinnahar Latib

Kuantan: “Saya mengharapkan anak sihat seperti bayi lain kerana tidak sanggup melihat keadaannya dipenuhi wayar dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan,” kata Nor Ashima Ahmad, 42, ibu bayi berusia tiga bulan, Nur Qaseh Qasrina Abdul Razak yang mengalami masalah saluran darah ke jantung sempit.

Nur Qaseh Qasrina yang juga kembar kepada Nur Aisyah Humaira dilahirkan melalui pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, sebelum disahkan menghidap masalah berkenaan seminggu selepas dilahirkan.

Menurut Nur Ashima, selepas empat hari dilahirkan, anaknya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), HTAA selepas jantungnya berdegup kencang.

“Doktor yang membuat pemantauan kemudian mengesahkan anak mengalami masalah saluran darah ke jantung sempit. Pada 11 Disember lalu, dia dipindahkan ke Hospital Serdang, Selangor dan menjalani pembedahan membesarkan saluran darah ke jantung pada 13 Disember lalu.

“Kini, dia masih dalam pemantauan pakar di hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

NUR Qaseh   dibawa menggunakan bekas khas untuk dipindahkan ke Hospital Serdang.
NUR Qaseh dibawa menggunakan bekas khas untuk dipindahkan ke Hospital Serdang.

Nor Ashima dari FELDA Chini 1, Pekan berkata, doktor mahu melihat perkembangan anaknya dengan rapi sebelum rawatan lanjut dapat dilakukan memandangkan masih kecil.

Katanya, dia yang sudah berada di hospital itu lebih dua minggu terpaksa meninggalkan Nur Aisyah kepada ibunya.

“Suami (Abd Razak Awang Kechik, 48,) juga berada di FELDA Chini 1 menjaga tiga lagi anak, buat masa ini saya perlu berada di sini, bersama Nur Qaseh,” katanya.

Katanya, keluarganya buntu memikirkan kos terpaksa ditanggung sepanjang berada di Hospital Serdang termasuk rawatan serta belanja lain.

“Malah, saya juga belum dimaklumkan kos pembedahan perlu dibayar selain bil hospital,” katanya yang juga suri rumah.

“Saya risau memikirkan kos pembedahan dan berharap jasa baik orang ramai untuk menyalurkan bantuan kepada kami sekeluarga bagi mengurangkan beban ditanggung,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Nor Ashima Ahmad 156094277583 atau menghubungi talian 017-9364829.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 11:22 AM