DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO Faizul Azlan Razak
DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui tidak faham dengan sesetengah pihak yang mengatakan tindakan empat negeri berhasrat membentuk satu kumpulan negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak menghormati Kerajaan Persekutuan.

Malah, Ahmad Samsuri berkata ada pihak yang beranggapan Kerajaan Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihatnya membawa mesej tidak baik.

"Tidak menghormati itu yang saya tidak faham kerana apa yang kita laksanakan mencari jalan sebanyak mungkin dengan pelbagai cara untuk meningkatkan tahap ekonomi empat negeri yang ditadbir PN.

"Apa juga usaha yang kita buat, adakah ini dikira tidak menghormati Kerajaan Persekutuan? Itu yang saya tidak faham sebab pada peringkat ini kita sedang bekerja erat dengan Kerajaan Persekutuan.

"Jadi, saya tidak faham atau mungkin ia hasad dengki atau iri hati pihak tertentu," katanya yang ditemui selepas Majlis Perasmian Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata pihaknya juga bekerjasama erat dengan agensi dan kementerian Kerajaan Persekutuan membabitkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ERCL).

Beliau berkata, minggu lalu pihaknya bermesyuarat mengenai ECRL dan tidak timbul soal tidak menghormati Kerajaan Persekutuan seperti yang dimaksudkan.

"Saya percaya untuk mencapai satu tempat, kita harus menggunakan pelbagai cara kiri, kanan, atas dan bawah, asalkan kita capai objektif yang kita mahu.

"Kita mahu capai dalam waktu yang singkat, itu objektif kita. Jadi, saya tidak fahamlah kenapa timbul begitu.

"Saya boleh katakan, dalam pertemuan pertama selama 40 minit dengan Tun M baru-baru ini, langsung tidak menyentuh soal politik sebaliknya hanya bercakap soal pentadbiran dan bagaimana mahu meningkatkan ekonomi," katanya.

Ahmad Samsuri berkata, sepanjang tempoh pemerintahan Tun M ia menunjukkan pencapaian yang tertentu.

"Jadi, adakah salah bagi kami kepada orang yang sudah mencapai kejayaan dan mengambil ilmu mereka.

"Kerajaan negeri Terengganu pada 2018, melantik Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor untuk membantu melonjakkan ekonomi dan pelbagai perkara bagi negeri Terengganu," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dalam proses membentuk satu kumpulan negeri yang ditadbir oleh PN dengan Tun M sebagai penasihat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 3:16 PM