Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Keupayaan PAS dalam mentadbir kerajaan yang membangun dan membina sudah terbukti melalui kepimpinan parti itu di beberapa negeri dan peringkat Persekutuan.

Justeru, Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tidak wajar seandainya parti itu dilihat tidak mampu memerintah dan hanya akan menyebabkan negara berdepan lebih banyak masalah sekiranya menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PAS juga mempunyai rekod yang baik dalam pentadbiran termasuk bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat.

"Kita berjaya membuktikan penyertaan yang membina kepada negara di peringkat Persekutuan sekali pun dalam tempoh yang singkat ini, jadi kenapa PAS dilihat tidak mampu untuk bersama membentuk sebuah kerajaan gabungan dalam kerajaan Persekutuan.

"Saya rasa ini adalah 'way forward' yang akan kita terus terokai di masa hadapan ini, insya-Allah, selepas daripada 19 November ini kita akan bentuk kerajaan yang lebih kuat di peringkat nasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika Program Santai Minum Petang Masyarakat Setempat di Dataran Kedai Kampung Langgar di sini, semalam.

Turut hadir calon PN Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Ahmad Samsuri juga menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad itu hanya pandangan peribadi kerana sesiapa sahaja bebas melontarkan pandangan.

Justeru, katanya, parti itu tidak mahu terlalu memikirkan kenyataan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) sebaliknya mahu memberi fokus kepada kemenangan PN dalam PRU15 ini dalam usaha mewujudkan kerajaan yang bersih dan stabil.

"Itu pandangan dia (Dr Mahathir ), terpulanglah… Ada orang nak terima, terima (sebaliknya) tetapi pada saya, PAS sudah membuktikan penyertaan dalam kerajaan di peringkat negeri-negeri dan juga peringkat nasional," katanya.

Tambah Ahmad Samsuri, tidak sewajarnya pendekatan agama yang digunakan PAS dan PN dijadikan isu memandangkan masyarakat tidak dapat lari daripada kehidupan beragama.

"Itu adalah kehidupan kita (yang mana) tidak dapat lari daripada kehidupan beragama, jadi sama ada kita berpolitik, makan, minum, tidur dan sebagainya semua mestilah berlandaskan dengan panduan agama.

"Jadi politik pun begitu (kerana) politik itu bukan suatu perkara yang asing dengan Islam, jadi tentulah kita kena selitkan semua perkara dengan panduan Islam, jadi kenapa itu menjadi satu isu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 12:18 PM