SULTAN Mizan berkenan melawat Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus sebelum merasmikan pusat pentadbiran Daerah Kuala Nerus. FOTO Faizul Azlan Razak
SULTAN Mizan berkenan melawat Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus sebelum merasmikan pusat pentadbiran Daerah Kuala Nerus. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Keberangkatan Tuanku dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke pusat pentadbiran Kuala Nerus disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli.

Terdahulu, Tuanku dan Sultanah berkenan melawat Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus sebelum merasmikan dengan menandatangani plak digital.

Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, daerah baharu Kuala Nerus diisytiharkan secara rasminya sebagai daerah kelapan dalam Negeri Terengganu pada 18 September 2014.

Beliau berkata, pusat pentadbiran terbabit berkeluasan 187.76 hektar yang menempatkan bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus.

"Selain itu, ia juga menempatkan bangunan guna sama kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang merangkumi enam jabatan, dan kemudahan seperti dewan perdana dan pusat komersial.

"Dengan tertubuhnya Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus ini, ia memberikan impak yang positif terhadap kualiti perkhidmatan dan khidmat pelanggan yang lebih baik, malah mampu merancakkan ekonomi di kawasan sekitarnya," katanya.

Majlis peletakan batu asas Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus diadakan pada 9 Mei 2015 dan disempurnakan Sultan Mizan.

Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus diisytiharkan sebagai Bandar Al-Wathiqu Billah oleh Tuanku sempena Ulang Tahun Tuanku ke-53.

Fasa pembinaan Pusat Pentadbiran Baru Kuala Nerus bermula pada 15 Disember 2015 dan siap sepenuhnya pada 28 Oktober 2021 sebelum beroperasi sepenuhnya pada 22 Februari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 1:50 PM